BALING – Seorang pemandu kereta maut selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pikap dinaiki sekumpulan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu, Perak di Gunung Inas, Jalan Baling-Pengkalan Hulu di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mangsa, Shafiron Mohd Zaid, 40, maut di tempat selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan manakala anak perempuannya berusia dua tahun cedera.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Azmi Mokhtar berkata, kejadian itu membabitkan pikap jenis Isuzu dipandu anggota polis berusia 41 tahun dengan kereta jenis Proton Waja dinaiki dua beranak.
Katanya, kesemua anggota polis tersebut dikatakan baru habis tugasan dan dalam perjalanan untuk membuat lawatan kebajikan di sini.
Jelas beliau, siasatan awal di tempat kejadian mendapati pikap terbabit datang dari arah Pengkalan Hulu menghala ke Baling manakala kereta dari arah bertentangan telah hilang kawalan.
“Kereta telah masuk ke laluan pikap menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu bertembung di bahagian hadapan sebelah kanan.
“Akibat kemalangan tersebut, pemandu kereta cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu dan penumpang-penumpang pikap serta penumpang hadapan kereta berusia 2 tahun yang duduk di tempat duduk kanak-kanak hanya cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kulim untuk proses bedah siasat manakala kesemua yang cedera dirawat di Hospital Baling.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette