KUANTAN – Seorang penganggur mengaku bersalah memuat naik gambar bersifat jelik melibatkan institusi Kesultanan Pahang pada 24 April lalu di dalam aplikasi TikTok, dihadapkan di Mahkamah Seksyen di sini hari ini.

Tertuduh, Mohd Nazre Mohd Sani, 38, membuat pengakuan bersalah berkenaan dihadapan Hakim Maimoonah Aid kemudiannya dihukum denda sebanyak RM15,000.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menggunakan perkhidmatan aplikasi Tiktok melalui akaun @mohdnazrebiohdsani dipautan https://www.tiktok.com/@mohdnazrebinmohdsani/photo/7361163101053390081.

Mohd Nazre dituduh secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu gambar yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Dia didakwa melakukan kesalahan terbabit pada jam 4.30 pagi di mana hantaran terbabit telah dilihat pada jam lebih kurang 2.27 petang hari yang sama di Pejabat Kebawah Duli Paduka Baginda (KDPB) Sultan Pahang, Pekan.

Tertuduh selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa di bawah Seksyen 233 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Bagi kesalahan itu hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1 ,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Sesi pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Faten Hadni Khairuddin.

Faten Hadni memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal selain memandang serius kesalahan dilakukan OKS berikutan hantaran dilakukan berunsur 3R (Race, Religion dan Royalti) yang boleh mengganggu kepentingan awam disamping perkataan digunakan sangat jelik dan kasar.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dan memohon agar hukuman denda ke atasnya dikurangkan kepada RM500.

Dalam rayuan tertuduh memberi alasan tidak mempunyai pekerjaan tetap perlu menyara seorang isteri dan dua orang anak.

Mahkamah menetapkan tertuduh dikenakan hukuman denda RM15,000 dan jika gagal membayar denda boleh dikenakan hukuman penjara enam bulan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast