GEORGE TOWN – Polis sudah menahan suspek yang bertindak menikam mati dua beranak dalam kejadian di sebuah apartmen di Lengkok Angsana, Ayer Itam di sini, hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, lelaki berusia 32 tahun yang turut mengalami kecederaan selepas mengelar dan menikam dirinya sendiri ditahan serta sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.
Jelasnya, siasatan lanjut berhubung kes ini masih dijalankan termasuk mengenal pasti motif pembunuhan wanita berusia 30 tahun dan bapanya, 62 tahun.
“Dengan penahanan suspek dan rampasan senjata pisau yang digunakannya, kita percaya berjaya menyelesaikan kes bunuh berkenaan.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Orang ramai dan saksi awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Hamzah, orang ramai juga diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan di media sosial sehingga menjejaskan siasatan pihak polis.
ARTIKEL BERKAITAN
Wanita ditikam sudah berkahwin, suspek bukan kekasih arwah – Linda
Anak dan bapa mati dibunuh akibat cinta ditolak
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan tidak puas hati cinta ditolak, seorang lelaki bertindak menikam Siti Zulaila Zulkifli, 30, dan bapanya, Zulkifli Ibrahim, 62, di hadapan lif tingkat bawah apartmen tersebut.
Namun, salah seorang ahli kepada keluarga dua beranak itu yang ingin dikenali sebagai Linda mendakwa suspek bukan kekasih kepada mangsa wanita tersebut.
Sebaliknya wanita itu menjelaskan, arwah sudah berumah tangga dan mempunyai tiga anak berusia antara 18 bulan hingga 10 tahun.
“Kejadian berlaku sangat mengejut dan buat masa ini keluarga masih belum bersedia untuk beri apa-apa kenyataan, tambahan pula keluarga masih dalam keadaan trauma kehilangan dua orang tersayang dalam masa sama,” katanya. – MalaysiaGazette