PUTRAJAYA – Pengasas platform e-dagang FashionValet, Vivy meninggalkan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, petang ini tanpa suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar.
Vivy ditemani peguamnya Shaarvin Raaj Selva Kumar dan seorang pegawai penyiasat SPRM dilihat menaiki kenderaan Toyota Vellfire berwarna hitam meninggalkan bangunan itu pada jam 4 petang.
Vivy yang tiba ke Ibu Pejabat SPRM sekitar jam 2.30 petang tadi memberi keterangan selama 90 minit bagi membantu siasatan pasukan penyiasat dalam kes berhubung kerugian pelaburan dana Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB) berjumlah RM43.9 juta.
Namun, pengamal media yang ‘berkampung’ di pejabat SPRM di sini mendapati suaminya tidak ada bersama beliau dalam kenderaannya semasa dia meninggalkan premis tersebut petang ini.
Dalam pada itu sumber memaklumkan, Vivy bersama peguam dan pegawai penyiasat SPRM menuju ke rumah pengasas platform e-dagang FashionValet yang lain.
Selepas tiga jam memberi keterangan di SPRM Putrajaya semalam, pasukan penyiasat menggeledah kediaman Vivy pada jam 5.30 petang semalam.
Hasilnya, pasukan penyiasat SPRM menyita 11 beg tangan serta seutas jam tangan berjenama mewah dengan anggaran keseluruhan kira-kira RM200,000.- MalaysiaGazette