JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor berjaya menahan 27 warganegara asing dalam serbuan di daerah ini dan Batu Pahat dalam operasi pada 4, 6 dan 7 November lalu.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, menerusi Ops Gegar di beberapa premis pusat refleksologi sekitar Batu Pahat dari pukul 7 hingga 10 malam pada 4 November lalu, lapan warganegara asing ditahan.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita Vietnam serta seroang lelaki warga Myanmar berusia 25 hingga 33 tahun.
“Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun iaitu pemilik premis turut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, dalam Ops Pelantar dan Ops Selera di kawasan Endau, Mersing bermula pukul 3.30 hingga 4.50 petang pada 6 November, seramai enam warga asing dicekup.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan seramai lima wanita Vietnam dan seorang lelaki Bangladesh berusia 33 hingga 48 tahun ditahan.
Sementara pada hari yang sama, katanya, JIM Johor melakukan Ops Kutip di beberapa buah kantin sekolah di daerah ini dari pukul 10.50 pagi hingga 12 tengah hari.
Seramai lima lelaki Indonesia ditahan katanya, masing-masing berusia 22 hingga 45 tahun.
“Menerusi beberapa operasi di pusat hiburan juga pada hari sama di daerah ini bermula 10.30 malam hingga 1 pagi seramai 49 individu diperiksa,” ujarnya.
Daripada jumlah itu, kata Mohd Rusdi, lima wanita Vietnam dan seorang lelaki Myanmar berusia 18 hingga 32 tahun ditahan.
Jelas beliau, semua operasi berkenaan dilakukan selepas mengesan terdapat warga asing bekerja tanpa dan permit sah serta tidak memiliki perjalanan yang sah.
Semua warga asing yang ditahan itu melakukan kesalahan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia.
Mereka juga melakukan kesalahan bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 iaitu melanggar syarat pas yang ditetapkan.
“Seorang lelaki tempatan yang merupakan pemilik premis itu pula ditahan bawah Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa permit yang sah,” katanya.- MalaysiaGazette