KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakhiri lawatan kerja di China dengan mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Xi Jinping, lewat petang semalam.
Dalam pertemuan itu, Anwar berkata, beliau sempat menyatakan
terima kasih atas sokongan Jinping terhadap penyertaan Malaysia dalam BRICS sewaktu di Kazan tempoh hari.
“Komitmen Presiden Xi cukup mengesankan dalam kalangan negara Global South.
“Saya menghargai semangat beliau untuk mengangkat martabat rakyat terpinggir dan menjulang nilai kemanusiaan.
“Menjelang kepengerusian Malaysia dalam ASEAN, saya tegaskan Malaysia bersedia memperkukuh hubungan serantau, terutamanya menerusi penganjuran sulung Sidang Kemuncak ASEAN GCC+China.
“Saya langsung menjemput Presiden Xi untuk menghadiri persidangan di Malaysia tahun depan,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Selain itu, Malaysia juga katanya, bersedia memperkukuh persahabatan dan kerjasama yang terjalin sejak 50 tahun lalu dalam perniagaan, ekonomi dan pelaburan terutama dalam teknologi digital, tenaga dan pendidikan.
Menurut Anwar beliau berharap kunjungan ke negara Tembok Besar itu akan melimpahkan manfaat dan kemakmuran kepada rakyat dan negara sama ada dalam hubungan dua hala mahu pun pelaburan dan perniagaan.
Perdana Menteri turut diberi penghormatan untuk menghadiri makan malam bersama Presiden Xi dan delegasi China, sebelum berangkat pulang ke tanah air. -MalaysiaGazette