Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipilih semula, Datuk Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa kerajaan mendedahkan kepada umum berkenaan kriteria pemilihan pengendalian rangkaian kedua 5G yang dianugerahkan kepada U Mobile Sdn. Bhd. (U Mobile).

Ketua Portfolio Komunikasi Ahli-Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kriteria pemilihan itu juga perlu dikongsi kepada semua Ahli Dewan Rakyat.

Dakwa beliau, ia berikutan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil tidak menjawab sepenuhnya soalan-soalan yang dikemukakan beliau dalam Dewan Rakyat mengenai pemilihan U Mobile sebagai pengendali rangkaian 5G kedua negara.

“Saya bertanya kenapa spesifikasi pemilihan pengendali rangkaian 5G kedua  tidak didedahkan kepada umum lantas menyebabkan proses pemilihan menjadi  tidak telus.

“Menteri Komunikasi hanya menjawab secara umum tetapi tiada penjelasan mengenai kenapa ada kerahsiaan dalam proses yang sepatutnya  terbuka dan telus.

“Perkara ini penting kerana ketidaktelusan inilah yang  menyebabkan wujud pelbagai spekulasi sehingga ada yang membimbangkan kerana menyentuh kemuliaan institusi Yang Di-Pertuan Agong,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor turut menggesa kerajaan menjelaskan mengapa dua pengendali gergasi telekomunikasi negara, CelcomDigi dan Maxis tidak dipilih sebagai pengendali rangkaian kedua 5G tersebut.

Sedangkan, ujar beliau, kedua-dua syarikat itu mempunyai kekuatan kewangan, liputan, infrastruktur dan pelanggan yang lebih tinggi.

“Ini semua menimbulkan  persoalan yang belum terjawab,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan bagaimana wakil U Mobile iaitu pesaing kepada syarikat milik kerajaan (GLC) Digital Nasional Berhad (DNB) masih berada dalam Lembaga Pengarah DNB.

Jelas beliau, sekiranya individu berkenaan mempunyai akses kepada maklumat-maklumat sensitif  mengenai hal ehwal dalaman dan strategi DNB, sudah pasti syarikat swasta U  Mobile akan mempunyai senjata untuk bersaing dan mengalahkan DNB.

Sedangkan, ujarnya, DNB tidak ada akses kepada strategi dalaman U Mobile, menjadikan padang tidak sama rata.

“Kenapa kerajaan memberi kelebihan kepada pesaing yang majoriti dimiliki oleh Singapura, sedangkan syarikat GLC milik rakyat Malaysia iaitu DNB dipaksa bersaing atas padang yang tidak sama rata?

“Kenapa wakil U Mobile dalam DNB tidak diarah meletak jawatan serta-merta?” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menuntut kerajaan memberi penjelasan penuh sekiranya masih terdapat aset atau industri strategik tempatan lain akan dibuka kepada pemilikan asing.

“Sebelum ini sudah ada isu Blackrock. Sekarang kita berhadapan dengan  spektrum 5G pula. Apa lagi selepas ini?” katanya.

Fahmi ketika sidang Dewan Rakyat berkata, keputusan untuk memilih U Mobile sebagai penyedia rangkaian 5G kedua Malaysia tidak bertentangan dengan syarat khas lesen bagi suatu lesen individu.

Menurut Fahmi, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah melaksanakan proses terperinci dari aspek teknikal dan komersial untuk memilih pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang akan melaksanakan rangkaian 5G kedua negara.  – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast