Pengerusi DAP Lim Guan keluar dari Mahkamah Kuala Lumpur selepas memenangi kes saman fitnah oleh pengerusi PN Muhyiddin Yassin. Foto AIZAT ZAINAL, 8 November 2024.

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng lega dan bersyukur kerana keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang memihak kepadanya dalam kes saman fitnah terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mahkamah hari ini memutuskan Muhyiddin telah memfitnah Ahli Parlimen Bagan itu dan memerintahkan beliau membayar ganti rugi sebanyak RM1.35 juta.

Ia berhubung kenyataan yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu mengenai kutipan cukai serta penalti terhadap Yayasan Albukhary ketika Guan Eng menjadi Menteri Kewangan.

Kata Guan Eng, keputusan hari ini telah memberikan beliau keadilan buatnya mengikut lunas perundangan.

“Terima kasih kepada barisan peguam mewakili saya. Saya bersyukur dengan keputusan hari ini yang mana penghakiman dengan jelas membuktikan apa yang dikatakan tentang saya adalah tidak berasas sama sekali.

“Kenyataan seumpama ini sebenarnya mampu menggangu gugat keharmonian antara kaum di negara ini. Tan Sri Muhyiddin telah membuat dakwaan bahawa saya yang ketika itu berstatus Menteri Kewangan telah membuat keputusan membatalkan pengecualian cukai ke atas Yayasan Albukhary.

“Ternyata itu tidak benar dan mahkamah telah membuktikan tuduhan berat seperti itu ke atas saya,” katanya kepada media hari ini.

Pengerusi DAP Lim Guan keluar dari Mahkamah Kuala Lumpur selepas memenangi kes saman fitnah oleh pengerusi PN Muhyiddin Yassin. Foto AIZAT ZAINAL, 8 November 2024.

Kata Guan Eng lagi, beliau pada awalnya enggan mengambil pendekatan saman sebaliknya telah meminta Muhyiddin menarik balik kenyataan tersebut namun Ahli Parlimen Pagoh itu enggan melakukan demikian.

“Saya minta beliau buktikan sama ada saya benar-benar telah lakukan seperti dakwaan beliau, beliau ulang kembali dakwaan tersebut dan saya tiada pilihan selain menyamannya.

“Isu pengecualian cukai telah berlaku ketika beliau menjadi Perdana Menteri jadi perkara ini tiada kena mengena dengan saya namun saya terheret sekali sehingga reputasi dan nama saya dalam pelbagai kaum di negara ini terjejas,” ujarnya.

Sebelum ini, dalam pernyataan tuntutan yang difailkan pada 27 Mac 2023, Guan Eng mendakwa, Muhyiddin ditahan SPRM pada 9 Mac 2023 dan dibebaskan dengan jaminan pada sebelah petang.

Kata Guan Eng, kenyataan fitnah berkenaan antaranya bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila ia tidak patut dikenakan cukai.

Jelas beliau kenyataan itu seolah-olah bermaksud beliau bersifat perkauman, anti-Melayu dan anti-Islam dengan sengaja menyasarkan Yayasan Al-Bukhary dan dirinya serta sengaja mensabotaj yayasan berkenaan.

Ini juga bermaksud dakwa Guan Eng beliau seorang pendendam dan bertindak dengan niat jahat dengan menyalahgunakan kuasa serta tidak cekap ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

Muhyiddin sebelum ini dalam satu kenyataan mendakwa Guan Eng sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap keputusan mengenakan semula cukai ke atas Yayasan Albukhary.

Ujar Muhyiddin, selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara pada Mei 2018, LHDN enggan melaksanakan pengecualian cukai yang telah diberikan sebelum ini. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here