Jenazah dua beranak itu disembahyangkan di Masjid Tuan Guru, Tanjong Tokong Pulau Pinang malam tadi.

GEORGE TOWN – Jenazah pesara askar dan anak perempuannya yang maut ditikam seorang lelaki dalam kejadian di sebuah apartmen di Lengkok Angsana, Ayer Itam di sini semalam selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.

Zulkifli Ibrahim, 62, dan anaknya Siti Zulaila, 30, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Qaryah Tanjong Tokong di sini pukul 10 malam tadi.

Jenazah dua beranak tersebut sebelum itu disembahyangkan di Masjid Tuan Guru yang dihadiri kira-kira 300 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, rakan serta pendudukan sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.

Terdahulu, jenazah dua beranak itu selesai dibedah siasat kira-kira jam 7 malam sebelum dibawa keluar dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang 20 minit kemudian.

Mohamad Shazwan Hafizi menyiram air di pusara isteri serta bapa mentuanya sebaik selesai proses pengebumian.

Sementara itu, suami Allahyarham Siti Zulaila, Mohamad Shazwan Hafizi Badrul Kamal ketika ditemui memaklumkan arwah masih isterinya yang sah dan dakwaan wanita itu janda tidak benar.

“Saya sedih bila ramai tabur fitnah arwah isteri seorang janda.. saya merupakan suami yang sah kepada dia.

“Sudah sedih isteri ditimpa insiden begini ditambah pula dengan dakwaan tidak sepatutnya buatkan kami sebagai keluarga sangat terkesan,” katanya.

Mohamad Shazwan Hafizi berharap suspek dikenakan tindakan mengikut lunas undang-undang.

“Kepada pelaku (suspek) saya harap pihak berwajib kenakan tindakan undang-undang terhadap dia,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Anak dan bapa mati dibunuh akibat cinta ditolak

Ini takdir mereka, saya reda – ibu mangsa bunuh dua beranak

Suspek bunuh dua beranak direman tujuh hari

MalaysiaGazette terdahulu melaporkan, suspek yang bertindak menikam mati dua beranak tersebut direman selama tujuh hari.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Shyahirah Abdul Salim bermula hari ini sehingga 14 November ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan terhadap suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Permohonan reman itu dijalankan di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, berikutan suspek masih menerima rawatan di hospital berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast