Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa supaya melakukan kajian menyeluruh berhubung langkah penamatan sepenuhnya perkhidmatan dan penggunaan tenaga gas asli (NGV) di negara ini bermula 1 Julai 2025.

Pengerusi Hak Konsumer Sejahtera (HAKS), Shahir Adnan berkata, alasan pembatalan NGV itu dilihat agak janggal kerana data menunjukkan terdapat 23 juta kenderaan yang menggunakan gas asli itu di seluruh dunia.

Katanya, kenderaan yang menggunakan gas asli atau NGV adalah pilihan yang baik sebagai bahan api pengangkutan domestik berbanding petrol dan bahan api diesel konvensional.

“Adakah 23 juta kenderaan tersebut tidak selamat? Kerajaan perlu memberikan statistik keselamatan kerana NGV telah digunakan sejak tahun 1995 di negara kita,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Shahir, di Malaysia, dilaporkan lebih 44,000 kenderaan yang berdaftar sebagai NGV  termasuk 9,500 teksi, 32,000 kenderaan persendirian, 2,000 bas dan selebihnya merangkumi jentera dan mesin.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan mengumumkan tiada lagi jualan bahan api untuk kenderaan NGV atas faktor keselamatan dan Petronas pula akan menamatkan bekalan runcit gas asli itu secara berperingkat di pasaran.

“Namun begitu, tarikh tersebut seakan-akan kebetulan dengan waktu penarikan balik subsidi RON95 yang diumumkan waktu perbentangan Belanjawan 2025,” ujarya.

Katanya lagi, kelebihan menggunakan kenderaan NGV adalah mesra alam kerana ia kurang menyebabkan pencemaran berbanding kenderaan yang menggunakan petrol atau diesel.

“Ia mengeluarkan tahap karbon dioksida (CO₂), nitrogen oksida (NOx), bahan zarah (partikulat) dan karbon monoksida (CO) yang lebih rendah, seterusnya mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau,” jelasnya.

Bagi rakyat pula kata beliau, gas asli merupakan bahan api yang lebih rendah kosnya kerana ia lebih murah berbanding petrol atau diesel dan penjimatan yang signifikan bagi pemilik kereta, terutamanya mereka yang memandu dalam jarak sederhana secara rutin seperti teksi.

Shahir Adnan

Shahir menambah, berdasarkan statistik pasaran minyak dan gas, harga gas asli lebih stabil berbanding harga petrol dan diesel yang mempunyai perkaitan secara terus berdasarkan harga minyak global.

Katanya, keberkesanan keseluruhan penggunaan NGV juga bergantung kepada ketersediaan gas asli dan infrastruktur di sesebuah kawasan.

“Dengan pengumuman Kerajaan, ia mematikan keseluruhan penggunaan NGV di negara kita, seterusnya rakyat tidak diberi pilihan lain, sama ada hanya menggunakan RON95, diesel atau kenderaan elektrik,” jelas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast