Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.

KUALA LUMPUR – Pas mempersoalkan keberkesanan mekanisme pemberian subsidi bahan api RON95 menggunakan MyKad yang akan disemak kelayakannya menerusi Pangkalan Data Utama (PADU) seperti diumumkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada sidang Dewan Rakyat kelmarin.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, mekanisme yang akan menggunakan sistem PADU itu penuh `sangsi’ kerana sehingga kini tiada bukti sistem tersebut berkesan untuk mengatasi isu pemberian subsidi.

Malah, tambah Ahli Parlimen Alor Setar berkenaan, sehingga kini juga langsung tiada khabar berkait simulasi pengujian sistem PADU.

“Masakan tidak sangsi, dalam isu kos pembinaan sistem PADU, Rafizi kemukan fakta yang tidak konsisten iaitu RM85 juta pada persidangan parlimen penggal lalu manakala kenyataannya kelmarin RM31 juta

“Pada teorinya, mekanisme ini nampak praktikal, namun sejauh mana keberkesanannya akan terbukti selepas dasar ini dilaksanakan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, Afnan Hamimi turut mengingatkan berkenaan kelajuan dan rangkaian internet di luar bandar yang masih lemah iaitu melibatkan lebih 30 peratus daripada penduduk Malaysia yang mana majoritinya orang Melayu.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya khuatir mekanisme tersebut tidak praktikal di luar bandar sekali gus menafikan kelayakan penduduk di kawasan tersebut daripada mendapat subsidi petrol.

“Menariknya, pembelian petrol tidak mengambil kira jenis kenderaan sama ada mewah ataupun tidak, bagaimana jika pekerja atau pemandu yang ditugaskankan mengisi minyak kereta majikan yang kaya?” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap mekanisme yang akan diguna pakai untuk melaksanakan dasar pemberian subsidi RON95 tersebut akan matang sebelum dilaksanakan tahun depan.

“Kita tidak mahu episod ‘umum dahulu, kaji kemudian’ sepertimana penyasaran subsidi diesel tempoh hari. Diharap formula PADU Rafizi berkesan dan dapat memberi penjimatan kepada kantung kerajaan seperti yang dirancang,” katanya.

Ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2025 peringkat Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat kelmarin, Rafizi Ramli berkata, kad pengenalan atau MyKad boleh digunakan sebagai mekanisme pelaksanaan subsidi petrol RON95 yang disasarkan yang mana memerlukan rakyat Malaysia yang layak mengimbas MyKad mereka di pam untuk petrol bersubsidi.

Menurut Rafizi, kelayakan mereka akan ditentukan melalui data yang disimpan pada pangkalan data awam. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast