Suspek kes dera dan buli terhadap seorang pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraaan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dibawa oleh anggota PDRM di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 8 November 2024.

KUALA LUMPUR – Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menekap seterika pada tubuh seorang pelatih junior.

Tertuduh, Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim, Egusra Ali.

Berdasarkan pertuduhan yang dibacakan, Amirul Iskandar didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas pada pukul 11.45 malam di ALK UPNM, Kem Sungai Besi di sini.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau sebatana atau mana-mana daripada dua hukuman berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sabri Othman pada mulanya menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin berikutan jenis dan keseriusan kesalahan yang dilakukan.

Katanya, Mangsa telah mengalami kecederaan lecur tahap kedua di bahagian kanan dada.

“Selain itu, perbicaraan kes ini bakal membabitkan saksi rakan seasrama, jurulatih dan kes berkepentingan awam akan menjadi panduan kepada pelajar lain iaitu kesalahan membuli, bukan sahaja hukuman tetapi ikat jamin juga tinggi supaya peruntukan undang-undang ini tidak dipandang rendah sebagai peruntukan kesalahan ‘non bailable offence’,” katanya.

Mohd Sabri turut memohon arahan tambahan supaya tertuduh tidak mendekati dan mengganggu saksi-saksi kes.

Amirul Iskandar yang tidak diwakili peguam memohon jaminan lebih rendah dengan alasan ibu bapanya adalah pesara kerajaan dan dia sendiri masih belajar.

“Saya berjanji akan hadir pada setiap kali perbicaraan,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan jumlah jaminan ke atas tertuduh sebanyak RM20,000 dengan dua orang penjamin dengan menetapkan 27 Disember untuk sebutan semula kes.

Ibu dan bapa tertuduh hadir untuk membayar jaminan.

Terdahulu, tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta pukul 9.47 pagi tadi dengan berkemeja putih dan bergari serta diiringi anggota polis.

Pada 22 Oktober lalu, mangsa mendakwa didatangi pegawai senior yang juga suspek sebelum mangsa diminta menggosok pakaiannya.

Pelajar senior berusia 22 tahun itu didakwa secara tiba-tiba mengambil seterika yang dipegang pengadu dan menekap bahagian dada sebelah kanan mangsa sebanyak satu kali.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan melecur dan menjerit kesakitan.

Mangsa kemudian membuat laporan polis pada 1 November dan keterangan daripadanya sudah direkodkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast