BATU PAHAT – Hasrat sorang peniaga kedai makan untuk menjual dua utas jam Rolex miliknya tidak kesampaian selepas rugi RM140,000 diperdaya pembeli semasa urusan jual beli dalam talian.
Mangsa yang merupakan lelaki berusia 47 tahun dikatakan berhasrat menjual jam miliknya itu dalam Facebook dengan membuat iklan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, semuanya bermula apabila mangsa mengiklankan jam tangan tersebut pada 27 Oktober lalu melalui Facebook dengan harga RM88,000.
“Mangsa kemudiannya telah menerima mesej menerusi Facebook Messenger dan seterusnya mangsa telah berkomunikasi dengan suspek melalui aplikasi Whatsapp bagi urusan pembelian jam tangan tersebut.
“Suspek kemudiannya telah menyatakan ingin membeli jam tangan tersebut dengan harga RM88,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam tadi.
Katanya, mangsa seterusnya menawarkan sebuah lagi jam tangan Rolex untuk dijual kepada suspek dengan harga RM52,000.
Suspek ujarnya, bersetuju dan menyatakan ingin membeli kedua-dua jam tangan tersebut dengan harga RM140,000 dan bayaran akan dibuat ke dalam akaun mangsa.
Menurutnya, mangsa menerima mesej melalui Whatsapp daripada suspek pada 4 November lalu menyatakan bahawa bayaran telah dibuat berjumlah RM140,000 ke dalam akaun mangsa melalui mesin deposit cek.
“Mangsa kemudiannya membuat semakan akaun bank miliknya dan mendapati bahawa terdapat kemasukan wang berjumlah RM140,000 dalam akaun milik mangsa,” katanya.
Beliau berkata, suspek kemudiannya meminta mangsa menyerahkan jam tangan tersebut kepada syarikat penghantar yang telah diupah bagi tujuan penghantaran.
“Mangsa kemudiannya telah menyerahkan
kedua-dua jam tangan tersebut kepada pihak penghantar untuk tujuan penghantaran kepada suspek,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pada 5 November lalu
mangsa mendapati wang berjumlah RM140,000 tersebut telah tiada dalam akaun mangsa dan cek tersebut adalah merupakan cek tendang.
Mangsa katanya, menyedari telah tertipu dan kemudian membuat laporan polis ekoran mengalami kerugian RM140,000.
Tambahnya, polis menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan urusan jual beli atas talian dan orang ramai boleh layari laman sosial Facebook @jsjkpdrm dan @cybercrimealertrmp bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan jenayah komersil,” katanya. – MalaysiaGazette