Tertuduh, Darmawan, 39, didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis syabu seberat lima kilogram, bulan lalu.

MELAKA – Seorang lelaki warga Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya jenis syabu seberat lima kilogram bulan lalu.

Tertuduh, Darmawan, 39, mengangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada pemandu kren itu kerana kesalahan mengedar dadah adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 5,054 gram di tepi pesisir pantai belakang Impression City, Kota Shahbandar dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 5.50 pagi 28 Oktober lalu.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Terdahulu. Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang diwakili peguam K. Shareveen.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan tarikh 2 Januari 2025 untuk sebutan semula kes.

Pada 29 Oktober lalu, MalaysiaGazette melaporkan Polis Melaka memberkas seorang lelaki warga Indonesia ketika cuba menyeludup keluar lebih lima kilogram syabu ke negara jiran melalui pesisir pantai berhampiran Kota Syahbandar.

Dalam serbuan kira-kira pukul 5.50 pagi itu, suspek membawa beg galas mengandungi lima peket lutsinar dadah disyaki syabu yang diperolehi dari selatan Thailand dianggarkan bernilai RM161,696. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast