Datuk Ahmad Hairi Hussain (dua dari kanan) merasmikan Majlis Anugerah Ikon Usahawan Asnaf 2024 di Hotel Grand Darul Makmur  di sini, pada hari ini.

KUANTAN – Seramai 19 orang asnaf terpilih akan menerima bantuan awal untuk menghasilkan barangan bagi Produk Asnaf Zakat Pahang (PAZPA) yang dijangkakan  beroperasi pada tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Ahmad Hairi Hussain berkata, seramai tiga orang asnaf dari kalangan pengusaha bot pelancongan manakala selebihnya terbabit dengan sektor pertanian.

Ahmad Hairi berkata, pihaknya sebulat suara memilih dua lokasi yang dilihat strategik iaitu   Hulu Tembeling, di Jerantut dan Pulau Tioman yang dibangunkan sebagai hab memasarkan produk berkenaan.

Tambahnya, hasil kajian dilakukan di Hulu Tembeling mendapati kebanyakan peserta mempunyai tanah yang luas untuk diusahakan dalam bidang pertanian.

“Jadi mereka boleh membuat kebun pisang, ubi kayu, keledek dan menjadikan ia produk, sebelum dipasarkan ke kawasan itu.

“Kita  turut membantu asnaf lain di seluruh negeri ini  supaya boleh membekalkan produk pertanian untuk  dipasarkan di hab terbabit,” katanya.

Dalam perkembangan sama, pihaknya akan membantu golongan asnaf di Pulau Tioman dengan menyediakan pelbagai kemahiran dan kursus yang bersesuaian ekoran kawasan tanah di situ terhad.

“Kalau di Pulau Tioman, program seperti bantuan bagi membuka kedai gunting rambut dan tanaman hidroponik akan diberikan kepada mereka,” jelas Ahmad Hairi.

Beliau berkata demikian sejurus merasmikan Majlis Anugerah Ikon Usahawan Asnaf 2024 di Hotel Grand Darul Makmur  di sini, pada hari ini.

Untuk rekod MUIP telah memperuntukan sebanyak RM226,583 bagi menyalurkan Bantuan Modal dan Peralatan Perniagaan Asnaf kepada 44 usahawan asnaf di Pahang bermula Januari hingga September lalu.

Manakala sebanyak RM1.7 juta pula disediakan untuk membantu usahawan asnaf  mengembangkan perniagaan mereka dalam tempoh lima tahun bermula 2019 lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast