PANDEMIK Covid-19 telah membawa perubahan besar dalam landskap pendidikan kebangsaan dan ia telah mencetus satu norma baru dalam pembelajaran.
Dengan penutupan sekolah secara meluas dan peralihan mendadak kepada pembelajaran dalam talian maka cabaran-cabaran baru telah muncul seperti jurang digital, ketidaksamarataan akses kepada teknologi dan kesulitan dalam mengekalkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
Walaupun berdepan dengan kesukaran tetapi perkara tersebut dapat diatasi dan aktiviti pembelajaran tetap berjalan seperti biasa dengan kaedah yang baru.
Sungguh pun Covid-19 telah berlalu, pendidikan atas talian pasca Covid-19 mesti terus diperkasakan dengan penggunaan teknologi canggih.
Dalam konteks ini, langkah yang komprehensif haruslah menjadi agenda utama bagi memastikan kelestarian pendidikan terus berlaku agar manfaatnya dapat disampaikan kepada para pelajar.
Pendidikan atas talian memerlukan pendekatan yang lebih inovatif dan fleksibel. Ini termasuk penerapan teknologi digital yang lebih meluas bukan sahaja sebagai alat sokongan tetapi sebagai komponen asas dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Inisiatif seperti e-pembelajaran, kelas hibrid dan penggunaan sumber pembelajaran digital perlu diperkasakan untuk memastikan semua pelajar tanpa mengira latar belakang sosioekonomi mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti.
Selain itu pendidikan atas talian juga menuntut penekanan kepada pembangunan insan abad ke-21 seperti pemikiran kritis, kreativiti, kerjasama dan literasi digital. Ini penting bagi mempersiapkan generasi muda untuk menghadapi dunia yang semakin kompleks dan berubah dengan pantas.
Pendidikan yang lebih inklusif dan responsif juga diperlukan di mana pelajar dengan keperluan khas dan mereka dari komuniti yang kurang bernasib baik perlu diberikan perhatian lebih khusus.
Melalui kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan dan semua komuniti rakyat maka pendidikan atas talian boleh diperhebat untuk melahirkan generasi yang lebih bersedia dan berdaya saing dalam era globalisasi yang serba mencabar.
Menurut Profesor Yong Zhao dari Sekolah Pendidikan di Universiti Kansas, Amerika, pandemik telah mendedahkan kekangan sistem pendidikan semasa dan terdapat keperluan untuk pendekatan yang lebih individu, fleksibel dan berpusatkan kepada pelajar.
Pendidikan mesti berkembang untuk menyediakan pelajar bagi masa depan yang tidak dapat dijangka di mana kreativiti, kebolehsuaian dan pemikiran kritis adalah penting.
Profesor Linda Darling-Hammond dari Institut Dasar Pembelajaran Universiti Stanford, California, Amerika, menyatakan Covid-19 telah menyerlahkan ketidaksamaan yang mendalam dalam pendidikan. Selepas pandemik, kita mempunyai tanggungjawab untuk membayangkan dan membina semula sistem pendidikan yang saksama, inklusif dan mampu menyokong perkembangan holistik setiap kanak-kanak.
Justeru itu beberapa perkara perlu dilakukan bagi memperkasakan pendidikan atas talian di Malaysia. Pertama, memperkuat infrastruktur digital: Salah satu cabaran terbesar adalah pembangunan infrastruktur digital dalam pendidikan.
Sekolah dan institusi pendidikan harus memastikan akses internet yang stabil dan boleh diakses buat semua pelajar. Penggunaan platform pembelajaran atas talian harus diperbaiki dengan mengintegrasikan teknologi yang lebih canggih seperti kecerdasan buatan (AI) untuk mendukung proses pembelajaran.
Kedua, meningkatkan keterampilan guru: Guru perlu dilengkapi dengan keterampilan dan pengetahuan baru dalam penggunaan teknologi pendidikan. Latihan berterusan berasaskan teknologi harus diberikan kepada guru untuk memastikan mereka mampu mengadaptasi metodologi pengajaran yang lebih fleksibel dan efektif seperti pembelajaran secara hibrid. Sudah sampai masanya pihak guru diberi insentif untuk membangunkan kandungan pembelajaran agar ianya lebih efisyen serta boleh diakses oleh pelajar pada bila-bila masa.
Ketiga, pembelajaran yang lebih fleksibel dan inklusif: Pendidikan negara perlu menjadi lebih fleksibel dan inklusif. Kurikulum harus dirancang untuk lebih responsif terhadap keperluan pelajar dengan pendekatan yang lebih khusus. Kandungan pembelajaran perlu melihat jauh kehadapan. Adakah ilmu yang dipelajari ketika ini boleh diguna untuk 10 tahun yang akan datang? Adakah para pelajar telah dipersiapkan untuk menghadapi cabaran tersebut?
Justeru itu untuk mencapai tujuan ini kerjasama antara kerajaan, institusi pendidikan, guru, ibu bapa, dan komuniti adalah sangat penting. Polisi yang menyokong pendidikan atas talian perlu diperkuat dan diberi perhatian yang lebih serius. Selain itu inovasi dalam pendekatan pendidikan perlu terus diterokai dan diimplementasi agar sistem pendidikan sentiasa relevan dan responsif terhadap perubahan masa depan.
Oleh
Rasfan Abu Bakar
Pensyarah Kanan di Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA).