Ekspo Rumah BPEX 2024 yang bermula hari ini hingga jam 9 malam esok.

KUALA LUMPUR – Ekspo Rumah BPEX 2024 yang membuka tirainya hari ini, menawarkan kediaman dengan harga serendah RM200,000 sekitar kawasan Sungai Besi di sini.

Tawaran menarik ini bagi merealisasikan Impian pembeli bumiputera terutamanya golongan B40 untuk memiliki rumah pertama sendiri.

Pengarah Urusan Marvel Management Communication Sdn Bhd, Datuk Nor’ashikin Taib berucap semasa majlis EKSPO Rumah BPEX 2024 di Mid Valley, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 29 NOVEMBER 2024.

Pengarah Urusan Marvel Management Communication (MMC) Sdn Bhd, Datuk Nor’ashikin Taib berkata, pihaknya yang bertindak sebagai penganjur ekspo ini hampir 17 tahun mahu memfokuskan pemilikan golongan bumiputera yang belum lagi membeli kediaman.

Ekspo Rumah BPEX 2024 diadakan selama dua hari bermula hari ini bertempat di Dewan 3, Pusat Pameran Mid Valley (MVEC) yang disertai 55 pemaju perumahan.

Ia dibuka secara percuma bermula jam 11 pagi hingga 9 malam.

Pengunjung mengambil kesempatan melihat tawaran kediaman di Ekspo Rumah BPEX 2024 di Mid Valley.

“Ekspo Rumah BPEX sentiasa menjadi platform yang ditunggu-tunggu bukan sahaja kepada golongan pembeli rumah sebaliknya juga pemaju jual lot-lot mereka kepada golongan bumiputera pada harga menarik.

“Bayangkan, kita ada satu residensi wilayah yang berharga RM200,000 di Sungai Besi. Kita ada 400 unit untuk kaum bumiputera yang ingin memiliki rumah kali pertama, daftar dan memilikinya. Rumah harga RM200,000 di Lembah Klang adalah sangat murah.

“Selain itu juga, unit-unit rumah yang ada pada hari ini adalah dalam lingkungan harga antara RM200,000 hingga RM350,000. Itu harga mampu milik untuk kawasan bandar, pada masa sama kita juga ada hartanah-hartanah premium yang berharga RM500,000 ke atas sehingga mencecah RM2 juta. Semuanya menarik,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Ekspo Rumah BPEX 2024 bertemakan ‘Sudah Masanya Miliki Rumah Sendiri’ yang dirasmikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin petang tadi.

Datuk Azman Abidin melawat reruai selepas majlis EKSPO Rumah BPEX 2024 di Mid Valley, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 29 NOVEMBER 2024.

Setakat hari ini, ekspo ini memberi kehadiran yang memberangsangkan dan dijangka jumlah itu melebihi 30,000 esok.

Terdahulu ketika berucap, Azman menyambut baik komitmen pemain industri kepada inisiatif kerajaan dengan sebanyak 9,500 unit kuota bumiputera bernilai RM5.6 bilion telah dipamerkan pada Ekspo Rumah BPEX 2024 hari ini.

“Inisiatif penganjur MMC Sdn Bhd dalam meningkatkan penjualan unit bumi kuota di Lembah Kelang amat disokong dan kita bersama-sama akan meneliti apa lagi bentuk inisiatif pemilikkan hartanah di kalangan bumiputera dapat ditingkatkan.

“Syabas atas inisiatif menggalas tanggungjawab sosial membantu rakyat khususnya golongan bumiputera memiliki kediaman impian mereka. Kaum ini juga harus peka dalam bidang hartanah, pakej-pakej hartanah, potensi-potensi pelaburan hartanah serta menyimpan impian tidak ketinggalan memiliki rumah di usia muda dan membuat perancangan awal untuk keluarga pada masa hadapan.

“Saya sentiasa membuka ruang kepada semua pihak yang ingin sama-sama membawa aspirasi Kerajaan Madani dalam menggalakan pemilikan kediaman dan memberikan sokongan serta kerjasama yang lebih mantap supaya hasrat pemilikan kediaman dapat direalisasikan.

“Harap Ekspo Rumah BPEX ini diperluaskan ke peringkat negeri-negeri dalam usaha kita mencapai objektif meningkatkan pemilikan dalam kalangan bumiputera,” katanya.

Antara rumah contoh yang ditawarkan sempena Ekspo Ekspo Rumah BPEX 2024 di Mid Valley.

Dalam pada itu, Nor’ashikin menyeru bumiputera golongan B40 dan M40 merebut peluang dalam ekspo ini yang mendapat kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), selain memanfaatkan pelbagai skim seperti Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) untuk mereka yang tiada pendapatan tetap dan slip gaji bagi memiliki rumah pertama.

Ekspo Rumah BPEX dengan anggaran nilai hartanah berjumlah RM4 bilion ini bakal merealisasikan impian pengunjung untuk memiliki aset tanpa bayaran pendahuluan, menikmati tawaran diskaun 10 peratus, rumah dilengkapi perabot, yuran guaman percuma, pengecualian duti stem bagi pembelian RM500,000 ke bawah serta pelbagai hadiah menarik disediakan serta cabutan bertuah.

Antara nama-nama syarikat yang menyertai pameran ini termasuklah Sime Darby Property, Mah Sing Group Berhad, Sunsuria City Sdn Bhd, Glomac Group, JL99 Group, Inter Sky Development, Bangsar Hill Park, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor, Berjaya Times Square, Ehsan Armada, Damansara Peak, Selaman Sdn Bhd dan banyak lagi.

Pameran BPEX ini menyasarkan anak muda dan kaum wanita bagi pemilikan rumah sebagai aset jangka panjang serta pelabur-pelabur hartanah.

Daftar sekarang jangan lepaskan peluang anda untuk memenagi cabutan bertuah yang ditawarkan BPEX. Sila klik link di bawah: 👇🏻👇🏻👇🏻👇🏻👇🏻
https://bpex.onpay.my/order/form/exporumah – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast