Tangkap layar video tular bangkai kepala harimau belang yang mati akibat dilanggar lori di JRTB Gerik- Jeli pagi tadi. Foto Media Sosial

GERIK – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak mengesahkan menerima maklumat berhubung penemuan seekor harimau belang yang mati dipercayai dilanggar lori di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa di sini pada Sabtu.

Pengarah Perhilitan Perak Yusoff Shariff berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut pada jam 9 pagi tadi.

Menurutnya, kakitangan Perhilitan Gerik kemudiannya bertindak ke lokasi untuk menjalankan siasatan berhubung penemuan haiwan itu.

“Hasil siasatan mendapati haiwan tersebut telah dilanggar lori yang dalam perjalanan dari Gerik ke Jeli sekitar jam 5.30 pagi ini.

“Setakat ini, kita masih tidak dapat mengenal pasti jantina haiwan itu kerana karkas hancur.

“Berat (harimau) pun kita tak boleh nak anggar, tapi percaya harimau dewasa,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Yusoff berkata, pengecaman ke atas harimau tersebut sukar dilakukan kerana tubuhnya hancur akibat kemalangan itu.

“Sepatutnya kita boleh kenal (kumpulan) harimau ini, tapi disebabkan tubuh dah hancur, jadi sukar kita nak buat pengecaman.

“Tapi kita percaya, haiwan itu dari hutan berhampiran sama ada Hutan Simpan Temenggor, HS Gerik atau (Hutan) Royal Belum,” jelasnya.

Beliau berkata, bahagian kepala haiwan karnivor itu akan dihantar ke Institut Biodiversiti (IBD) di Pahang untuk proses pengawetan.

Difahamkan, setakat ini belum ada sebarang laporan polis dibuat oleh mana-mana pemilik lori yang terlibat dalam kejadian tersebut.

Terdahulu, tular video memaparkan seekor harimau belang dilanggar lori di media sosial sejak pagi tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast