Pengarah Lembaga Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Marina Chin dalam Majlis Perasmian Simposium Kejurulatihan (ICS) 2024 di Hotel Zenith, Putrajaya, hari ini.

KUALA LUMPUR – Simposium Kejurulatihan Antarabangsa (ICS2024) oleh Institut Sukan Negara (ISN) mampu meningkatkan standard kejurulatihan dan memberi manfaat kepada atlet di seluruh dunia.

Pengerusi Lembaga ISN, Datuk Marina Chin berkata, simposium itu juga dapat menjadi satu medium perkongsian maklumat antara lebih 200 orang jurulatih dan pakar sains sukan yang datang dari serata dunia untuk para jurulatih yang hadir.

“Ini secara tidak langsung akan memacu inovasi dan kerjasama dalam kejurulatihan selain memperkukuh komitmen Malaysia untuk meningkatkan standard kejurulatihan sama dengan negara maju yang lain.

“Ilmu yang diterima juga dapat dipraktikkan terutamanya dalam aspek  pembangunan atlet untuk mencapai prestasi yang cemerlang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Simposium Kejurulatihan Antarabangsa (ICS2024), di Putrajaya, hari ini.

Marina turut memberitahu bahawa Malaysia sebagai negara yang sedang membangun dalam sukan akan terus mempromosikan kecemerlangan kejurulatihan di peringkat tempatan dan seluruh ASEAN.

“Menjelang ASEAN 2025 ini, ISN akan terus komited untuk membina perkongsian kolaboratif antara negara anggota dan memupuk perkongsian, pembangunan yang professional untuk ekosistem kejurulatihan.

“Marilah kita dekati simposium ini dengan minda dan hati terbuka, supaya dapat memberi inspirasi kepada para peserta serta memacu kemajuan yang bermakna untuk atlet dan organisasi sukan di seluruh dunia,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast