Menteri Pendidikkan, Fadhlina Sidek berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Sedekad Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) Kementerian Pendidikan Malaysia Tahun 2024 di SMKA Putrajaya. Foto AIZAT ZAINAL, 9 NOVEMBER 2024.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) akan memperkenalkan laluan khas kepada pelajar lepasan Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) untuk melanjutkan pengajian ke kolej matrikulasi.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, projek rintis itu akan diperkenalkan bagi pengambilan sesi akademik tahun depan melibatkan seramai 100 pelajar lepasan TMUA.

Ujar beliau, lepasan TMUA itu boleh memilih sama ada untuk melanjutkan pengajian peringkat matrikulasi dalam jurusan Perakaunan atau Sains dan akan ditempatkan di dua kolej matrikulasi iaitu di Kelantan dan Negeri Sembilan.

Ujar beliau, berbeza dengan penuntut matrikulasi biasa, pelajar lepasan TMUA itu akan mengambil satu lagi mata pelajaran di peringkat matrikulasi iaitu hafazan al-Quran.

“Program khas ini khusus untuk pelajar yang sudah melalui program TMUA dan kita akan menjaga mereka (dari segi hafazan al-Quran) di peringkat matrikulasi pula.

“Kita berharap menerusi program khas ini dapat melonjakkan dan menjadikan TMUA sebagai pilihan ibu bapa selain melahirkan generasi al-Quran MADANI yang dapat memberi sumbangan kepada kepimpinan dan keilmuan, seterusnya melahirkan tokoh-tokoh negara ke arah memartabatkan Malaysia di mata dunia,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan majlis Sambutan Sedekad Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) KPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Putrajaya, di sini hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Fadhlina berkata, program khas ke matrikulasi dalam kalangan pelajar lepasan TMUA itu juga bagi memastikan pelajar-pelajar berkenaan kekal konsisten dalam hafazan al-Quran mereka selepas menamatkan persekolahan di TMUA.

“Sukar untuk menjaga anak-anak ini untuk terus kekal menghafaz al-Quran apabila mereka keluar dari sistem persekolahan sebab kita tidak tahu bagaimana mereka membawa hafazan itu di luar sekolah.

“Jadi menerusi laluan khas ke matrikulasi ini, mereka masih berada dalam sistem KPM dan dipantau oleh guru-guru yang terlatih dalam bidang hafazan al-Quran,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada KPM berhasrat menambah sekolah aliran TMUA pada masa depan, Fadhlina berkata, pihaknya melihat keperluan tersebut dari semasa ke semasa bergantung kepada permintaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast