Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menganugerahkan Darjah Dato’ Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Darul Ridzuan sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-68 baginda di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 09 NOVEMBER 2024.

KUALA KANGSAR – Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, mendahului 59 senarai penerima Darjah Kebesaran serta Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-68 Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Istana Iskandariah, di sini pada Sabtu.

Syed Danial, 80, adalah penerima Darjah Datuk Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Beliau mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) merupakan pegawai tadbir dan diplomatik dari tahun 1967 hingga 1999 serta pernah bertugas sebagai timbalan setiausaha kerajaan negeri perak pada tahun 1985

Darjah sama turut dikurniakan kepada Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi dan Pengerusi Eksekutif Yee Lee Corporation, Datuk Lim Kok Cheong @ Lim A Heng.

Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Nor Azmie Diron pula menerima Darjah Datuk Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) yang membawa gelaran Datuk.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk), Harith Fadzilah Abdul Halim adalah antara lapan individu yang dikurniakan Darjah Datuk Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Datuk.

Selain Harith Fadzilah, antara yang menerima DPMP adalah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Perak (MBInc), Anuar Zainal Abidin; Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff dan Ketua Perkhidmatan Otorinolaringologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Dr D Philip Rajan.

Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia, Salasiah Abdul Wahab; Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri, Yong Zarida Sazali dan Duta Besar Kedutaan Malaysia The Hague Belanda Roseli Abdul dan Penulis Undangan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, Abdul Rahim Bin Mydin turut dikurniakan DPMP.

Darjah Datuk Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang turut membawa gelaran Datuk pula dikurniakan kepada enam penerima, antaranya Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Jeneral M Thevendran.

Turut dikurniakan DPTS adalah Pengarah Cawangan Khas PDRM, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail; Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah Dan Keselamatan Komuniti PDRM, Senior Asisten Komisioner Ng Kong Soon; Pakar Obstetrik dan Ginekologi ATM, Brigadier Jeneral Dr Sharifah Sofiah Syed Zainol dan Panglima Wilayah Laut 1 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Muda Farizal Myeor.

Dalam istiadat sama, seramai 13 penerima turut dianugerahkan Darjah Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) manakala 28 Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP).

Mereka adalah antara 213 penerima darjah kebesaran dan pingat yang telah diumumkan pada 1 November lalu.

Baki 154 penerima akan dikurniakan pingat pada istiadat penganugerahan sesi kedua yang akan berlangsung pada 16 November ini.

Bagi istiadat penganugerahan sesi pertama hari ini melibatkan penganugerahan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran SPMP hinggalah kepada Darjah Paduka Mahkota Perak (PMP).

Sempena sambutan hari keputeraan kali ini, Sultan Nazrin turut berkenan mengurniakan 14 Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM), 39 Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP), 61 Pingat Pekerti Terpilih (PPT), 30 Pingat Jasa Kebaktian dan 10 Pingat Lama Perkhidmatan (PLP). – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast