GERIK – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak akan bekerjasama dengan polis bagi mengesan individu dipercayai mengambil bahagian harimau belang yang mati di Kilometer 67.1 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Ia susulan penemuan bangkai harimau belang yang mati digilis lori berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa, pagi tadi didapati dalam keadaan tidak sempurna disyaki dicuri.
Artkel berkaitan: https://mgperak.com/harimau-belang-mati-dilanggar-lori-di-jrtb/
Pengarahnya, Yusoff Shariff turut menegaskan pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang terlibat dalam insiden tersebut.
Justeru, Yusoff menyeru orang ramai diminta untuk menghubungi polis atau Perhilitan jika mempunyai maklumat berhubung kejadian itu.
“Memandangkan hasil penelitian kami, banyak bahagian dari bangkai harimau ini didapati hilang dan pihak kami dengan kerjasama polis akan mengumpul maklumat dalam usaha mengesan mereka yang bertanggungjawab mengambilnya.
“Justeru, individu yang telah mengambil bahagian tertentu dari karkas harimau itu sama ada sebahagian kulit, taring, tulang, kuku atau misai supaya menyerahkan segera kepada Perhilitan bagi mengelak dari diambil tindakan,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Beliau berkata, individu yang didapati bersalah kerana memiliki apa jua bahagian dari Harimau Malaya tanpa kebenaran, boleh didenda minimum RM150,000 dan maksimum RM1 juta, serta penjara tidak melebihi 15 tahun iaitu peruntukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta A1646) jika sabit kesalahan.
Terdahulu, tular video memaparkan seekor harimau belang dilanggar lori di media sosial sejak pagi tadi. – MalaysiaGazette