KUALA LUMPUR- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Mesir bermula hari ini hingga 12 November atas jemputan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi.
Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Semasa lawatan tersebut, Perdana Menteri akan disambut oleh Presiden Mesir di dalam Majlis Sambutan Rasmi, diikuti oleh mesyuarat dua hala.
“Sesi perbincangan tersebut dijangka tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala melalui peningkatan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, pelancongan, pendidikan dan hal-ehwal agama, serta penerokaan kerjasama baharu dalam industri halal, kesihatan, air dan tenaga boleh diperbaharui, sumber asli dan kelestarian alam.
“Kedua-dua pemimpin turut dijangka membincangkan isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, terutamanya mengenai konflik di Palestin,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar juga dijadualkan untuk menyampaikan ceramah di Universiti Al-Azhar, menghoskan sesi libat urus bersama kapten-kapten industri tempatan; dan merasmikan pusat operasi pemasangan Proton Saga.
Beliau akan turut mengadakan pertemuan dengan para pelajar Malaysia semasa di Kaherah.
Lawatan Perdana Menteri ini bakal melakar satu sejarah penting di dalam hubungan persaudaraan di antara Malaysia dan Mesir, membuka ruang untuk mempelbagai dan mengukuhkan kerjasama, dan memperkukuhkan asas yang menjadi sinergi keatas usaha-usaha meneliti pelbagai isu serantau dan global yang berkepentingan bersama,” kata kenyataan itu lagi.
Mesir merupakan rakan dagang ke-5 terbesar Malaysia di antara negara-negara Afrika pada tahun 2023 dengan nilai dagangan bernilai RM3.35 bilion. Imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia.
Bagi tempoh Januari hingga September 2024, jumlah nilai dagangan direkodkan pada RM3 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 21.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023. -MalaysiaGazette