Pekerja di Ladang Kelapa Sawit Besout 6, Trolak, Perak dilihat melakukan kerja-kerja mengutip buah sawit ketika lawatan media ke situ, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – FGV Holdings Bhd akan menggunakan pangkalan sedia ada untuk proses mengeksport minyak isirung sawit mentah (CPKO) ke Eropah hujung tahun ini.

Ketua Pegawai Kelestariannya, Nurul Hasanah Ahamed Hassain Malim berkata, ia merupakan percubaan pertama FGV untuk memasarkan CPKO secara tidak langsung melalui produk akhir pelanggan.

Untuk memastikan percubaan pertama ini berjaya, FGV bekerjasama rapat dengan pelanggan untuk memastikan semua dokumentasi yang diperlukan memenuhi piawaian yang ditetapkan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Eropah (EUDR) sebagai sebahagian daripada usaha memasuki pasaran Eropah.

“Pembeli juga merancang untuk mengeksport produk akhir yang telah dibeli daripada FGV itu ke Eropah sama ada pada November atau Disember ini.

“CPKO yang dibeli seterusnya juga akan diproses dan diubah dalam bentuk lain sebelum dieksport. Jadi, ia bukan dieskport secara langsung oleh FGV,” katanya pada sidang media Program Pengenalan Media: Perjalanan Melalui Kelestarian Bersama FGV di Sungkai, Tapah, Perak, baru-baru ini.

Jelas beliau, pengesahan daripada pihak berkuasa Kesatuan Eropah (EU) berkenaan proses dan dokumentasi antara FGV dan pembeli bagi memenuhi piawaian EUDR.

“Walaupun peraturan itu belum lagi dikuatkuasakan oleh EU, FGV telah melantik pihak ketiga untuk membuat pengesahan berdasarkan keperluan yang mematuhi piawaian EUDR.

“Jadi, dari segi dokumentasi, kami dan pembeli akan bekerjasama rapat untuk memastikan semua dokumentasi selaras dengan larangan EUDR,” tambahnya.

Nurul Hasanah turut berharap agar sekatan import yang dikenakan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) terhadap FGV akan ditarik balik dalam masa terdekat.

“Kami telah kemukakan petisyen pada Jun 2024 dan sejak itu, kami telah berbincang dengan CBP supaya mereka meneliti petisyen itu dan menjawab persoalan mereka.

“Berkenaan jangka masa, saya tidak dapat memberikannya kerana CBP masih menilai dan mengajukan soalan serta pihak kami juga dalam proses melengkapkan segala maklumat yang diminta sehingga kini,” ujarnya sambil berharap dengan perubahan kepimpinan Presiden AS, pegawai CBP akan bersikap lebih neutral dalam membuat keputusan.

Sebelum ini, CBP telah mengeluarkan Perintah Pelepasan Penahan (WRO) terhadap FGV pada 3 September 2020 berdasarkan dakwaan kemungkinan adanya penggunaan buruh paksa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast