Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan pertama bagi tahun 2025. Foto ECERDC

KUALA LUMPUR – Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM1.21 bilion di Kelantan, yang kebanyakannya dipacu oleh sektor pembuatan.

Pencapaian itu mengukuhkan lagi kedudukan Kelantan sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

ECERDC dalam kenyataan hari ini berkata, antara penyumbang utama kepada pencapaian tersebut ialah projek Loji Janakuasa Hidro Mini 84 MW di Kuala Krai yang telah memulakan kerja tanah.

Projek kedua adalah pembangunan Pusat 3S Automotif (Jualan, Servis & Alat Ganti) di Taman Halal Pasir Mas yang dijangka memulakan operasi pada suku keempat 2025

Katanya, kedua-dua projek berimpak tinggi itu dijangka mewujudkan peluang pekerjaan dan keusahawanan yang berkualiti selaras dengan agenda pembangunan inklusif ECERDC.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, pencapaian yang melepasi sasaran pelaburan tahunan itu jelas mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dan sokongan daripada Kerajaan Persekutuan menerusi ECERDC.

“Pelaburan berjumlah RM1.21 bilion yang telah direalisasikan ini, khususnya dari sektor tenaga boleh diperbaharui, memperlihatkan kesediaan Kelantan untuk menarik pembangunan berskala besar.

“Tambah lagi dengan pelaburan komited sebanyak RM290 juta yang dijangka mewujudkan lebih daripada 650 peluang pekerjaan, keyakinan pelabur terhadap potensi jangka panjang Kelantan akan terus kukuh,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Kelantan pertama bagi tahun 2025.

Pada masa yang sama, kemajuan ketara turut dicatatkan dalam pembinaan Jambatan Palekbang–Kota Bharu.

Katanya, kerja-kerja bagi komponen utama iaitu struktur cable-stayed merentasi Sungai Kelantan telah dimulakan pada April 2025 dan dijangka siap seperti dirancang.

Jambatan itu akan berfungsi sebagai laluan strategik yang menghubungkan pusat bandar Kota Bharu dengan kawasan pembangunan baharu di Palekbang.

Selepas siap akan mampu mengurangkan kesesakan trafik terutama di Jambatan Sultan Yahya Petra, serta meningkatkan kecekapan pergerakan antara zon ekonomi utama di negeri tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat, jambatan itu juga dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan di daerah Tumpat dan Kota Bharu serta menggalakkan pertumbuhan aktiviti pelancongan di sekitar Pusat Bandar Kota Bharu.

“Kemajuan pembinaan Palekbang–Kota Bharu merupakan pemangkin utama kepada transformasi landskap infrastruktur di Kelantan.

Projek ini dibentuk untuk membina semula ketersambungan dan memacu aktiviti ekonomi yang merentasi pelbagai sektor seperti pelancongan, logistik, dan perdagangan.

“Digandingkan dengan pelaburan yang telah direalisasikan pada suku pertama 2025, yang dibentuk oleh sektor pembuatan dan tenaga boleh diperbaharui, ia menunjukkan bahawa momentum pembangunan yang dicetuskan di Kelantan mula memberi impak positif kepada komuniti setempat,” katanya.

Dalam usaha untuk memperkukuh taraf sosiekonomi luar bandar, ECERDC turut melaksanakan Program Usahawan Tani (IPR-INTAN) di Machang dengan memeterai perjanjian kerjasama bersama Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) dan Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Awang.

Majlis menandatangani perjanjian ini disaksikan Mohd Nassuruddin.

Projek fertigasi cili menggunakan teknologi pintar seluas 58.55 ekar itu dijangka mula beroperasi pada suku ketiga 2025 dan menyasarkan pendapatan mampan bulanan sehingga RM2,000 kepada 100 peserta melalui amalan pertanian moden.

Di bawah Projek Pengukuhan Industri Tenusu Kambing Kelantan, ECERDC telah menyiapkan dua Pusat Pengumpulan Susu Kambing (GMCC) di Ketereh dan Pasir Puteh, lengkap dengan kemudahan fasiliti pengeluaran makanan ternakan bagi menjamin kualiti serta bekalan makanan haiwan yang lebih baik.

Inisiatif itu bertujuan meningkatkan pengeluaran susu segar tempatan, mengurangkan kebergantungan kepada import, serta memperkukuh tahap sara diri industri tenusu negeri.

Ia juga membuka peluang kepada penternak untuk meningkatkan pendapatan menerusi amalan penternakan moden yang lebih efisien dan berdaya saing. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast