KUALA LUMPUR – Hotel Royal Park yang terletak di dalam kawasan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) bakal kembali beroperasi sepenuhnya pada Januari tahun depan.
Pengarah jualan, pemasaran dan pembangunannya, Husni Muit berkata, hotel yang dijenamakan semula daripada Hotel RHR itu memulakan proses pengubahsuaian dengan kos RM3 juta bermula April lalu.
Menurut beliau, ia kerana hartanah itu telah diambil alih oleh MZ Future Global Sdn. Bhd. selepas ditutup sejak pandemik Covid-19 sejak 2020.
“Sejak pra pembukaan hotel ini pada 15 Oktober lalu, kami cukup berbangga dengan permintaan luar biasa pelanggan dan tetamu apabila mula tempahan tinggi walaupun belum beroperasi sepenuhnya.
“Tempah bilik telah mencecah kadar penginapan melebihi 60 peratus selain beberapa acara seminar dan mesyuarat turut diadakan oleh agensi kerajaan walaupun promosi belum dijalankan.
“Justeru, kami yakin dapat menampung peningkatan jumlah pelanggan dan tetamu bagi memenuhi keperluan sebagai hotel bertaraf empat bintang yang menawarkan harga mampu milik kepada semua golongan apabila dibuka kelak,” katanya.

Hotel Royal Park kini menawarkan 168 bilik menerusi lima jenis kategori dengan harga bermula serendah RM280 semalam selain dewan dewan bankuet yang mampu memuatkan sehingga 350 hingga 400 orang.
Hotel yang dikendalikan syarikat penuh bumiputera itu juga menyediakan pakej penginapan dan golf selama dua hari satu malam bermula harga RM298 seorang.
Mengulas lanjut, Husni juga memberitahu, tarikan utama Hotel Royal Park yang kini dalam proses pembinaan adalah kolam renang yang berkonsep keluarga terutama kanak-kanak.
Selain jelas beliau, pelbagai promosi bilik dan menu akan diperkenal secara agresif sebaik hotel itu dibuka sepenuhnya.
Pada masa, katanya, pihaknya turut berbangga apabila telah memberi peluang pekerjaan kepada lebih 100 kakitangan sejak pra pembukaan hotel itu dan proses pengambilan baharu akan dijalankan secara berterusan. – MalaysiaGazette