Sultan Pahang melawat dan memberi sumbangan kepada mangsa banjir di PPS di Dewan Orang Ramai Tok Machang, Raub hari ini.

RAUB – Siapa tidak terkejut apabila hujan lebat yang bermula tengah malam dan dalam tempoh dua jam sahaja mengakibatkan air naik di dalam rumah di Kampung Tok Machang di sini semalam.

Seorang suri rumah, Samsiah Afnan, 55, berkata, melihatkan situasi itu, dia segera berkemas barang dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Orang Ramai Tok Machang di sini selepas diarahkan oleh pasukan penyelamat.

Samsiah Afnan

Kali kedua menjadi mangsa banjir membuatkannya sekeluarga lebih tenang dan berasa selamat selepas ditempatkan di PPS bersama anak, Syamil Mohdani Zakaria,25, dan Zakaria Mamat, 57.

Cuma, katanya, lebih mengujakan apabila Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menziarah mereka di PPS hari ini.

“Tuanku berjiwa rakyat, rasa terubat walaupun jadi mangsa banjir janji dapat tengok tuanku.

”Kali pertama masa ditempatkan di PPS dulu dapat tengok anakandanya, Tengku Hassanal. Cuma belum dapat bertemu dengan Tengku Ampuan Pahang,” kataya kepada MalaysiaGazette.

Manakala seorang lagi mangsa banjir, Siti Zainab Che Mat, 30, pula berkongsi pengalaman tidak merasa kekok menjadi mangsa banjir selepas rumahnya di Ulu Gali dinaiki air pada paras betis.

Siti Zainab Che Mat

”Arahan berpindah dikeluarkan oleh pihak bomba dalam pukul 5 pagi tadi, jadi saya dengan anak kecil berpindah.

”Alhamdulillah layanan di sini baik dan makanan pun semua bagus. Terkejut apabila tahu tuanku datang menziarah mangsa banjir dan memberi sumbangan,” tambahnya yang juga seorang surirumah.

Nurul Ain Nadirah Zulzuairi

Nurul Ain Nadirah Zulzuairi pula terkejut selepas diarahkan berpindah bersama bayinya, Mohd Nasif Ayas Moh Mazri Naim yang berusia dua bulan.

Beliau bertindak mengambil barangan keperluan dan menyelamatkan dokumen penting.

”Kali pertama jadi mangsa banjir tapi kita patuh pada arahan semasa terus berpindah. Memang tak sangka jadi mangsa banjir, ada rasa berdebar juga. Kadang-kadang anak meragam tapi alhamdulillah boleh tidur,” kongsinya.

Noraisyah Jamaludin, 26, pula berkata, beliau dan keluarga kali pertama berpindah di PPS pada pukul 8 pagi semalam selepas berdaftar.

Meskipun terkejut menjadi mangsa banjir secara tiba-tiba namun Noraisyah berpuas hati dengan kelengkapan di PPS yang menempatkan mangsa banjir.

”Bagi saya selesa bila buat khemah begini kerana aurat terjaga, jadi nak buat aktiviti pun tiada masalah. Saya baru tahu menu makanan di PPS sedap.

Noraisyah Jamaludin

”Rumah dinaiki air sejak 2.30 pagi tapi kami mula berpindah selepas hari cerah, keadaan di PPS baik dan selesa,” katanya.

Seramai 102 mangsa banjir daripada 28 keluarga ditempatkan di PPS Dewan orang Ramai Kg. Tok Machang di sini hari ini. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Sultan Abdullah nasihat mangsa banjir jangan cepat melenting

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast