RAUB – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Banjir (PPS) di negeri ini supaya tidak cepat melenting dalam menempuhi cabaran menjadi mangsa bencana itu.
Sebaliknya titah baginda rakyat seharusnya melipat-gandakan sabar dalam menghadapi menerima dugaan itu.
”Mangsa banjir juga jangan minta berlebih-lebihan. Terimalah apa yang diberikan dan ala- kadar, jangan cepat melenting.
”Ini semua dugaan kepada semua pihak dari segi kerajaan dan mangsa sekali. Kerajaan sudah diamanahkan agar semua bantuan diagihkan sebaik mungkin,” titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika ditemui media sejurus menyatuni 102 mangsa banjir daripada 28 keluarga di PPS Dewan orang Ramai Kg. Tok Machang, di Raub hari ini.
Turut mengiringi baginda Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah.
Baginda bertitah fenomena banjir di negeri ini setiap tahun disebabkan faktor cuaca dan bentuk muka bumi sejak dahulu lagi dan menerima kadar hujan lebih ketika musim Monsun Timur Laut (MTL) pada bulan November.
”Seperti biasa hujung tahun kita (Pahang) jangka hujan akan bertambah, kalau Sungai Pahang naik air dari hulu dan hilir akan terima akibatnya.
”Kalau laut besar di muara akan bertakung di Pekan dan beri impak yang besar, semua pihak dah memahami keadaan di sini dan kita berdoa masalah ini (banjir) dapat dikurangkan,” titahnya.
Jelas Al-Sultan Abdullah kerajaan negeri memainkan peranan penting dalam membantu menguruskan mangsa yang terjejas banjir.
Justeru baginda berharap semua pihak dapat menjalankan tugas sebaiknya dalam menyantuni mangsa serta memberikan perkhidmatan terbaik.
”Di mana-mana ada banjir tapi Raub jadi lokasi pertama, dulu (Oktober lalu) di Temerloh. Saya berdoakan semua bersabar dalam tempoh MTL dan hujan lebat kali ini.
”Dan saya percaya jentera kerajaan bersedia. Setiap daerah telah dimaklum dan pihak kerajaan negeri juga sudah bersedia.
”Saya nasihatkan supaya bertugas dengan penuh amanah, ikhlas dan memerikan keselesaan terbaik kepada mangsa banjir kita,” titah baginda.
Dalam perkembangan sama baginda turut menzahirkan kebimbangan banjir yang berlaku di Lipis di mana sudah dua PPS dibuka bermula hari ini menempatkan mangsa banjir.
”Kita doakan cuaca tidak seteruk dulu dan banjir besar tidak berlaku kali ini. Sama-sama kita berdoa. Kalau keadaan di Lipis teruk saya akan terbang esok,” titahnya.
Sehingga kini sebanyak 8 buah PPS dibuka menempatkan 456 mangsa banjir yang terjejas di Raub dan Lipis. – MalaysiaGazette
















