Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan bercakap kepada media ketika hadir pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 23 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Seorang Ahli Parlimen pembangkang menasihati pemegang saham utama U Mobile Sdn. Bhd ( U Mobile) yang juga hartawan terkenal, Tan Sri Vincent Tan agar kekal dalam dunia perniagaan dan tidak menceburi dunia politik.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, isu yang dibangkitkan ketika ini ialah mengenai tadbir urus, ketelusan, kemampuan U Mobile dan kelestarian syarikat syarikat berkaitan kerajaan milik rakyat (GLC).

“Saya tidak menyentuh keperibadian pemilik U Mobile. Tetapi jika Vincent mahu berkelakuan biadap, jangan terkejut jika ada orang membuka pekung dia dan ahli keluarganya pula nanti.

“Saya cabar Vincent umumkan berapakah jumlah peningkatan nilai pegangan saham dia dalam U Mobile selepas kerajaan umumkan pemberian spektrum 5G kepada U Mobile?

“Berapa puluh juta ringgit keuntungan yang si Vincent akan kaut secara peribadi?” katanya pada sidang media di Parlimen di sini, hari ini.

Wan Saiful daripada Perikatan Nasional mendakwa, Vincent juga maklum bahawa ramai pihak mempersoalkan hubungannya dengan orang atasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan MRCB.

“Vincent kata dia mahu hapuskan monopoli. Sedarkah dia bahawa monopoli tidak boleh dihapuskan dengan mewujudkan kronipoli?” soalnya.

Pengasas Berjaya Corporation Berhad, Tan Sri Vincent Tan.
Wan Saiful mendakwa, Vincent adalah antara beberapa individu yang akan mendapat manfaat berganda hasil daripada pemberian spektrum 5G kepada U Mobile.
“Sudah pasti tauke judi ini akan mempertahan keputusan kerajaan demi mengaut lebih banyak kekayaan.
“Saya tak kisah kalau si mahakaya Vincent Tan memberi hujah perniagaan atau ekonomi dalam hal ini. Tetapi saya memberi amaran agar tauke judi Vincent jangan celupar mulut memberi komen berbaur politik kepartian.
“Vincent mesti ingat bahawa rakyat Malaysia boleh pada bila-bila masa memboikot rangkaian U Mobile,” katanya.
Sebelum ini, Vincent yang juga Pengerusi U Mobile mempertahankan pemilihan syarikat itu sebagai pelaksana rangkaian kedua 5G dengan memuji langkah diambil Kerajaan Madani.

Beliau pada masa sama mengkritik kerajaan sebelum ini era pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri yang mahukan U Mobile menjadi pelaksana tunggal projek itu.

Beliau mengkritik Kerajaan PN yang telah menetapkan rangkaian tunggal dilaksanakan oleh Digital Nasional Bhd (DNB) dengan menggunakan dana awam yang dianggarkan RM16.5 bilion.

Walhal syarikat telekomunikasi di negara ini sedia untuk mengeluarkan perbelanjaan sendiri bagi pelaksanaan 5G. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast