KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan melaksanakan tindakan pencegahan untuk mengelak insiden buli di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada masa akan datang.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata is termasuklah pemasangan kamera litar tertutup ( CCTV) dan meningkatkan lagi kekerapan pemeriksaan secara berkala serta pengasingan pelajar.
“Sejak Januari lalu penuntut tahun pertama pengajian diasingkan daripada penuntut senior yang lain dan sejak Oktober lepas mereka sudah ditempatkan di aras berbeza.
“Pada masa yang sama kita juga sudah melaksanakan roll calls secara berasingan membabitkan penuntut senior sejak Oktober tahun ini,” katanya dalam sidang media di Wisma Pertahanan hari ini.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sambutan Hari Integriti Kementerian Pertahanan 2024 yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki.
“Sekiranya situasi menjadi luar kawalan, saya hanya kongsikan di sini dan tidak cakap ia (kejadian buli) akan berulang lagi, tetapi mereka akan melaksanakan roll calls setiap jam…termasuk pada waktu 2 pagi atau 4 pagi.
“Apabila roll calls dilaksanakan, mereka dikehendaki memakai pakaian seragam dan mendukung senjata masing-masing serta perlu berbaris,” ujar beliau lagi.-MalaysiaGazette