Khazanah
Khazanah Nasional Bhd

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melabur dalam FashionValet (FV) sebelum ini kerana ia merupakan platform e-dagang fesyen yang berpotensi sejajar dengan keutamaan kerajaan dalam sektor teknologi.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ini kerana ekonomi digital telah lama menjadi teras penting untuk pertumbuhan Malaysia sejak zaman Koridor Raya Multimedia dengan subsektor seperti e-dagang, dompet digital, platform dan banyak lagi.

Namun jelas beliau, kedua-dua syarikat iaitu Khazanah dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) memahami sifat pelaburan pemula seperti ini mempunyai risiko yang lebih tinggi
berbanding pelaburan biasa tetapi ia selaras dengan mandat mereka untuk menyokong pelaburan strategik.

“Bagaimanapun, kerajaan teliti dalam penggunaan dana awam dan akan terus memberikan perhatian yang ketat serta memperkukuh tatakelola dan kawalan tadbir urus.

“Memandangkan SPRM masih menyiasat kes ini dan audit dalaman di Khazanah masih berjalan, Khazanah perlu diberi ruang untuk proses siasatan ini diselesaikan. Segala dapatan yang dimuktamadkan nanti akan digunakan untuk menambah baik tatakelola Khazanah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Amir Hamzah turut mengesahkan Khazanah memiliki wakil di dalam Lembaga Pengarah FV kerana mempunyai pegangan yang memenuhi satu tahap yang dibenarkan.

Beliau bagaimanapun mengesahkan tiada wakil dari PNB dalam Lembaga Pengarah FV.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, adalah penting juga untuk melihat aspek pulangan pelaburan ini dengan perspektif yang lebih menyeluruh di mana Khazanah ada membuat pelaburan-pelaburan lain termasuk pelaburan peringkat awal yang telah memberikan pulangan yang positif.

Katanya, salah satunya ialah pelaburan Khazanah dalam perniagaan tenusu tempatan, Farm Fresh Berhad yang merupakan sebahagian daripada pelaburan modal teroka (VC investment) dalam sektor Pertanian.

“Dalam pelaburan Farm Fresh, Khazanah memperoleh pulangan lebih daripada 13 kali ganda, iaitu nilai melebihi RM800 juta ringgit.

“Adalah penting agar Khazanah terus menyokong ekosistem pelaburan tempatan dan pelaburan modal teroka sejajar dengan mandat Ekonomi Madani,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here