KUALA LUMPUR – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tidak menetapkan harga lantai atau harga siling untuk yuran taman asuhan kanak-kanak (taska) yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini kerana premis itu adalah taska swasta
yang berentitikan perniagaan yang memerlukan daya usaha yang kreatif di pihak pengusaha bagi memastikan perniagaan taska dapat berkembang maju dan mampan.
Jelas beliau, kadar yuran juga dipengaruhi oleh pelbagai faktor, antaranya standard dan kualiti perkhidmatan yang ditawarkan, lokaliti, serta faktor permintaan dan penawaran.
“Oleh itu, kesepakatan antara pengusaha taska, pengasuh dan ibu bapa harus diadakan untuk mendapatkan persetujuan bersama dalam hal ini.

“Namun pada masa yang sama, perlu diingatkan hasrat kerajaan untuk menaikkan kadar gaji minimum adalah demi kesejahteraan dan manfaat besar rakyat.
“Saya yakin rakan saya YB Menteri Sumber Manusia akan memberi maklum balas
terhadap kenaikan gaji minima dan impaknya di sesi penggulungan Kementerian beliau esok,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff (PN-Rantau Panjang) menyentuh impak kenaikan gaji minimum dari RM1,500 sebulan kepada RM1,700 sebulan pada tahun depan kepada kepada kenaikan yuran taska.
Pada pembentangan Belanjawan 2025 bulan lalu, kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500 kini berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan juga memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa 1 Ogos 2025. – MalaysiaGazette