Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng sedang membawa keluar pemandu lori yang tersepit dalam kemalangan jalan raya di kilometer (km) 294.8, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara. foto JBPM Perak.

GOPENG – Seorang pemandu lori lima tan cedera selepas tersepit dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lagi lori di kilometer (km) 294.8, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat sini, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berkenaan kejadian melibatkan lelaki berusia 32 tahun itu pada jam 1.40 pagi.

Katanya, sejurus selepas itu lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng diatur gerak ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 8km.

“Pasukan bomba yang tiba di lokasi mendapati kemalangan jalan raya itu membabitkan sebuah lori lima tan yang telah merempuh belakang sebuah lori yang lain.

“Anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat bagi mengangkat ‘dashboard’ atau papan pemuka dan kerusi pemandu.

“Setelah pemandu berjaya dibawa keluar dari kenderaan terbabit, mangsa diberikan rawatan awal,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Sabarodzi, mangsa telah dihantar ke hospital untuk menerima rawatan selanjutnya.

Operasi yang diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Norazhan Noor Fauzi tamat pada jam 1.51 pagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast