Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan sedang mempertimbangkan penggunaan kad pengenalan dan e-dompet dalam pelaksanaan penyasaran subsidi minyak RON95 di stesen-stesen minyak di seluruh negara.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pengesahan kelayakan seseorang penerima subsidi ini  mengambil kira kedudukan sosio ekonomi isi rumah perlu dilakukan sebelum pembelian RON95 dibuat.

“Penentukan kelayakan dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi dan pelaksanaan mekanisme pembelian RON95 menggunakan dua harga di stesen minyak, akan dibangunkan oleh Kementerian Kewangan.

“Kriteria dan mekanisme akhir akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selaras dengan garis masa pelaksanaan iaitu menjelang pertengahan 2025,” katanya dalam sesi jawapan menteri pada sidang Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berucap pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 21 OKTOBER 2024.

Terdahulu beliau menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Pulai-PH, Suhaizan Kaiat meminta Menteri Ekononi menyatakan mekanisme penggunaan kad pengenalan untuk pengesahan kelayakan penerimaan subsidi RON95 yang terdedah kepada masalah kerosakan cip, capaian internet perlahan di luar bandar, penipuan kelayakan, tambahan kos sistem pengesahan dan melambatkan proses pembelian minyak.

Sebelum ini, katanya, Kementerian Ekonomi dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah memperkenalkan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) mengikut daerah di seluruh negara.

Beliau berkata, ia sebagai nilai ambang perbelanjaan sesebuah keluarga mengikut jumlah tanggungan untuk menjalani kehidupan wajar.

“Ia mengambil kira perbelanjaan lebih besar selain daripada kos biasa seperti makanan, perumahan, tenaga dan kos-kos lain untuk sesebuah keluarga menikmati hidup bermaruah termasuk penglibatan dalam aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Katanya lagi, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan mengambil kira dan memperhalusi mekanisme itu susulan cabaran infrastruktur dan capaian internet di seluruh negara.

“Kerajaan mengambil maklum cabaran yang bakal dihadapi, seperti mekanisme kad pengenalan untuk mengesahkan kelayakan.

“Semua cabaran itu sedang diambil kira dan diperhalusi serta sedang dalam pembangunan di antara Kementerian Kewangan dengan pemain industri dan mereka yang akan melaksanakan perkara ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kenapa sebelum ni tak gunakan kaedah yg sama misalnya kena tunjukkan passport bagi warga asing? Lagi towkey2 besar kaya raya, semua ada personal driver mcm menteri…driver yg pergi isi minyak…bukan golongan mahakaya mcm Menteri perg isi minyak kat stesen petrol..tak masuk akal laaa kaedah ko ni..mcm mana boleh jadi menteri…kronisme betul

Comments are closed.