PUTRAJAYA – Status siasatan terhadap dakwaan berlakunya rasuah atau salah guna kuasa melibatkan penganugerahan projek bernilai RM4 juta di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan diketahui Isnin depan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, ketika ini, pihaknya masih meneliti dokumen siasatan dalaman termasuk minit mesyuarat yang diperoleh daripada DBKL untuk tindakan selanjutnya.
Jelas beliau, siasatan SPRM kini menjurus kepada sama ada berlaku isu jenayah di bawah Akta Pencegahan Rasuah 2009 iaitu rasuah dan salah guna kuasa atau wujud perlanggaran tata kelola dalam kes terbabit.
“Jadi secepat mungkin saya rasa Isnin depan akan kita update (maklum perkembangan terkini), sama ada kami akan membuka apa jenis kertas siasatan, baik jenayah atau siasatan isu tata kelola.
“Sekiranya berlaku kedua-dua sekali, bahagian siasatan akan memulakan siasatan serentak dengan siasatan di bahagian tata kelola,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Azam berkata, SPRM tidak memulakan siasatan lebih awal berhubung dakwaan kes itu memandangkan tidak ada sebarang laporan dikemukakan kepada pihaknya.
Jelas beliau, dakwaan kes itu juga hanya didedahkan menerusi laman media sosial sebelum DBKL menjalankan siasatan dalaman.
“Sebab itu itu saya masih maintain (kekal) mengatakan kami masih tidak lagi membuka kertas siasatan kerana kami tidak tahu duduk benarnya perkara ini.
“Kerana bukan semua kes-kes yang datang daripada maklumat awam, yang keluar baik di sosial media atau mainstream (arus perdana) terus diambil tindakan siasatan kerana dikhuatiri akan timbul penganiayaan terhadap seseorang.
“Sebab itu kita biarkan dulu DBKL jalankan siasatan dalaman mereka,” katanya.
Ditanya sama ada SPRM ada memanggil individu yang dikaitkan dalam kes tersebut, Azam bagaimanapun berkata, setakat ini pihaknya masih belum memanggil mana-mana pihak bagi tujuan siasatan.
“Kami sedang meneliti dokumen yang diperoleh dan apabila kami yakin ada perlanggaran rasuah atau tata kelola, baru kami akan pertimbang untuk panggil mana-mana individu untuk membantu siasatan,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, DBKL menjalankan siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.
Dakwaan salah laku membabitkan ahli lembaga penasihat itu yang juga seorang penerbit dan pengarah filem mula tular di media sosial baru-baru ini.
Ia membabitkan pelanggaran proses tadbir urus berkaitan perolehan projek kerja penerbitan bahan kreatif untuk DBKL yang didakwa tidak diberikan melalui tender terbuka. – MalaysiaGazette