ALOR GAJAH – Seorang pekerja kontraktor yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari tempat kerja maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh pemandu kereta dipercayai mabuk di Jalan Jeram, Masjid Tanah, di sini malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 malam itu, mangsa, Muhammad Syairazi Rahmat, 24, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata ketika kejadian, mangsa yang masih bujang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru dari arah Masjid Tanah.
“Sebaik tiba di lokasi, tiba-tiba sebuah Proton Wira dipandu lelaki berusia 34 tahun dari arah bertentangan memasuki laluannya dipercayai akibat mabuk menyebabkan mangsa tidak sempat mengelak sebelum dirempuh.
“Mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala, manakala pemandu terbabit dikejarkan ke zon merah Hospital Alor Gajah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, siasatan awal mendapati, pemandu Wira terbabit yang tidak mempunyai lesen memandu dipercayai mabuk dan sampel darah akan diambil bagi pengesahan kandungan alkohol dan dadah.
“Siasatan lanjut di lokasi mendapati nahas berlaku di jalan berselekoh dan merupakan laluan garisan berkembar, manakala cuaca dalam keadaan baik,” ujarnya.
Mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette