Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, Parlimen, Kuala Lumpur. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 18 OKTOBER 2024.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di peringkat dasar selepas dibahaskan sejak 21 Oktober lalu.

RUU dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 18 Oktober lalu itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju.

Menurut takwim Parlimen, perbahasan RUU itu bagi peringkat jawatankuasa akan berlangsung mulai esok hingga 3 Disember.

Belanjawan 2025 memperuntukkan RM421 bilion iaitu terbesar dalam sejarah dan diselaraskan secara strategik dengan kerangka Ekonomi Madani.

Bertemakan ‘Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera’, ia belanjawan ketiga oleh kerajaan Madani di bawah pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.

Ia memberikan tumpuan kepada menarik pelaburan berkualiti tinggi, memacu peluang perniagaan, melaksanakan projek untuk kesejahteraan rakyat dan tidak menjejaskan kemampuan mereka dalam membeli barangan keperluan dan perkhidmatan.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast