KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memandang serius kes buli yang berlaku di Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sehingga mengakibatkan seorang penuntut mengalami keretakan tulang rusuk dan tulang belakang.
Baginda menegaskan budaya buli tidak boleh dibiarkan berlarutan kerana bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar tetapi juga mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi di negara ini.
Sultan Ibrahim bertitah, kes buli di ALK UPNM bukan pertama kali dilaporkan berlaku, malah sebelum ini sudah terjadi beberapa kali sehingga meragut nyawa.
Menurut baginda, di dalam pasukan tentera latihan keras adalah perkara biasa bertujuan membina kekentalan mental dan jiwa yang kuat, seperti pernah dilalui oleh baginda sewaktu menjalani latihan ketenteraan.
“Namun ini bukan bermakna ke tahap buli atau menyeksa seseorang itu sehingga mendatangkan kecederaan fizikal atau meragut nyawa. Ini tindakan tidak berperikemanusiaan.
“Saya mahu Kementerian Pertahanan mengambil serius perkara ini kerana kes buli sudah beberapa kali berlaku di ALK UPNM,” titah Sultan Ibrahim.
Terdahulu, baginda berkenan menerima mengadap Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pertahanan di Istana Negara. – MalaysiaGazette