Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said

KUALA LUMPUR – Mana-mana individu yang ingin mendapatkan pelindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 harus membuat laporan kepada agensi berkenaan terlebih dahulu, jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau yang menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa sekiranya mana-mana pemberi maklumat tidak boleh mengharapkan perlindungan jika mereka terlibat dalam kes rasuah.

“Saya rasa kita perlu melihat ini dari dua aspek. Jika seseorang melakukan kesalahan, maka apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim adalah betul,” jelas Azalina.

Azalina berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Forum Mengenai Timbang Tara Antarabangsa 2024 berjudul Masa Depan Timbang Tara Antarabangsa: Pembaharuan dan Inovasi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Anwar semalam berkata tiada perlindungan akan diberikan bagi sesiapa yang terbabit dalam kes rasuah termasuk jika individu berkenaan mahu menjadi pemberi maklumat bagi membongkar mana-mana kes rasuah.

Dalam pada itu, Azalina berkata selepas laporan dibuat oleh pengadu maka prosedur yang betul mesti diikuti untuk mendapatkan perlindungan dibawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

“Apabila kita bercakap tentang Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, jika sesiapa merasakan terdapat salah laku, mereka harus melaporkannya kepada agensi terlebih dahulu.

“Bagi kes ini, agensi berkenaan adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Kita tidak boleh berada dalam situasi di mana kita mempunyai maklumat tetapi tidak melaporkannya kepada agensi. Agensi yang akan menentukan siapa yang layak untuk perlindungan,” tambahnya.

Jumaat lalu, seorang pegawai kanan SPRM dilaporkan bertemu dengan seorang peguam yang memainkan rakaman audio selama 17 saat, di mana beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kedengaran membincangkan perkara yang melibatkan suapan rasuah.

Pemberi maklumat dalam kes itu juga dikatakan menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri untuk meminta diberi perlindungan sebelum membuat laporan SPRM.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki, dilaporkan berkata peguam itu memberitahu bahawa anak guamnya bersedia memberikan bukti, bagaimanapun mahu SPRM menandatangani perjanjian bahawa anak guamnya tidak akan disiasat.

Azam berkata SPRM tidak boleh memberikan jaminan bertulis mengenai kekebalan tanpa maklumat terperinci tentang salah laku yang dimaksudkan.

Beliau berkata saksi itu diminta untuk membuat laporan rasmi, yang akan membolehkannya dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast