KUALA LUMPUR – Presiden Gabungan Teksi SeMalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain berkata, tambang teksi tidak akan dinaikkan walaupun kerajaan bakal menamatkan penggunaan kenderaan gas asli di negara ini
Kamarudin berkata, pemandu teksi akan menyalahi undang-undang jika menaikkan kadar tambang tanpa kelulusan kerajaan dan tindakan itu juga akan menyebabkan mereka kehilangan pelanggan.
Beliau berkata, terdapat 10,000 teksi menggunakan tenaga gas asli (NGV) di negara ini dan kebanyakan teksi merupakan kenderaan yang menggunakan dua jenis bahan api.
“Oleh itu, pemandu berkenaan tidak perlu menukar kenderaan baharu apabila larangan bahan api gas asli dikuatkuasakan. Ini juga tidak akan menambahkan beban pemandu,” katanya kepada China Press.
Beliau berkata, pemandu teksi sebenarnya sudah berdepan masalah pembelian bahan api gas asli selama lebih 10 tahun, malahan ada pemandu yang telah menanggalkan kelengkapan NGV.
“Apabila berbincang dengan pihak berkuasa pada 2020, kami diberitahu bahawa NGV dijual Petronas adalah lebih murah daripada harga pasaran sehingga mereka berdepan kerugian selain perlu menanggung kos penyelenggaraan yang lebih tinggi.
“Kami pernah mencadangkan supaya Petronas menghentikan penjualan NGV dan memberi pampasan tertentu kepada pemilik kenderaan yang terjejas, khususnya pemandu teksi.
“Namun, cadangan kami telah diabaikan pada masa itu,” katanya.
Susulan daripadanya, Kamarudin berterima kasih kepada kerajaan khususnya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke kerana berani membuat keputusan untuk menangani satu isu yang berpanjangan.
Kerajaan akan menamatkan sepenuhnya perkhidmatan dan penggunaan kenderaan NGV di negara ini bermula 1 Julai 2025 atas dasar keselamatan kepada pengguna dan orang ramai.
Sehubungan itu Petronas akan menamatkan bekalan runcit NGV secara berperingkat di pasaran sebelum penamatan sepenuhnya mulai 1 Julai 2025.
Petronas NGV Sdn Bhd (PNGV) juga mengambil inisiatif untuk menyediakan Program Bantuan Peralihan Kenderaan NGV untuk kumpulan sasar, termasuk pemandu teksi, yang terjejas.