Dzulkefly Ahmad

JOHOR BAHRU – Parti Amanah Negara (Amanah) Johor berharap UMNO benar-benar ikhlas untuk terus menjalin hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) dan tidak mengeruhkan keadaan.

Timbalan Pengerusi Amanah negeri, Dzulkefly Ahmad berkata, perbincangan dengan Amanah perlu dilakukan jika tidak bersetuju dan bukan menyindir atau mengkritik apabila Amanah menyatakan hasrat mahu bertanding 12 hingga 20 kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

“Keputusan yang dibuat parti untuk bertanding 12 hingga 20 kerusi di Johor tidak membabitkan mana-mana parti dan merupakan pendirian diasaskan selepas perbincangan dan kajian yang telah dilakukan.

“Pendirian Amanah Johor sangat jelas bagi menghadapi PRN atau Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) sekiranya kami dan PH bersama dengan UMNO dan BN bawah jenama Kerajaan Perpaduan Madani.

“Ataupun persediaan awal dalam pertembungan tiga penjuru yang membabitkan gabungan PH, BN dan Perikatan Nasional (PN),” katanya dalam kenyataan.

Beliau juga hairan kenapa UMNO terlalu takut dan ghairah menghentam Amanah Johor sedangkan tiada nama mana-mana parti yang dipetik dalam kenyataan sebelum ini.

“Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri sebelum ini menyatakan mereka belum bersedia mengumumkan sama ada kerjasama parti itu dengan PH akan terpakai dalam PRN Johor akan datang seperti mana formula yang diguna pakai pada PRN Sabah tahun hadapan.

“Kesediaan kami ini berasas dan bukan hanya cakap kosong kerana menurut rekod sebelum ini pada PRU14, PH berjaya dipilih menjadi kerajaan di Johor dengan Amanah mendapat sebanyak sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Namun ketimbang dengan prestasi PRN15, PH hanya menang 12 kerusi DUN dan Amanah menang satu kerusi kerana PRN tersebut diadakan dalam fasa pandemik Covid 19 ketika itu,” katanya.

Kelmarin, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman menyifatkan kenyataan terbaharu Amanah Johor  yang masih mempersoalkan mengenai Kerajaan Perpaduan masih belum dibentuk di negeri ini, disifatkan sebagai cubaan ‘menjolok sarang tebuan’.

Beliau berkata, kenyataan yang menyebut jumlah kerusi akan ditandingi Amanah Johor pada PRN  akan datang juga umpama pengisytiharan ‘perang’ dengan UMNO dan BN Johor.

Kenyataan Abdul Halim itu susulan kenyataan Dzulkefly sebelum itu yang dilaporkan berkata, partinya tidak menolak kemungkinan berlaku pertembungan antara PH dan BN pada PRN dan PRU-16 berikutan Johor kini masih belum membentuk Kerajaan Perpaduan.

Amanah Johor juga dilaporkan menyasarkan untuk bertanding 20 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN di Johor, sama ada bersama BN atau bersama dengan gabungan asal PH.

Pada PRN Johor 2022, UMNO dan BN menang 40 daripada 56 kerusi dengan PH terdiri DAP menang 10 kerusi, manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi.

PN pula menang tiga kerusi dengan Bersatu dua manakala Pas satu sementara Parti Ikatan Demokratik (Muda) juga satu kerusi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast