KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengambil lapan langkah sebagai tindakan penambahbaikan serta mekanisme pencegahan bagi mengelakkan kejadian penderaan sama berulang di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara langkah itu adalah pemeriksaan fizikal secara berkala dilakukan ke atas pegawai kadet universiti bagi mengesan sebarang aktiviti penderaan yang boleh mendatangkan kecederaan.
“Sejak Februari 2023, sebanyak tujuh kamera litar tertutup diletakkan di beberapa blok penginapan dan kementerian berhasrat menambah mengikut keperluan dan kesesuaian.
“Selain itu, jurulatih bertugas diarah melakukan rondaan ke penginapan pegawai kadet selepas jam 11.59 malam setiap hari,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Pada 8 November lalu, Pegawai Kadet Akademu Latihan Ketenteraan (ALK) UPNMdidakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menekap seterika pada tubuh seorang pelatih junior.
Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Egusra Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Muhammad Salman Mohd Saiful Surash, 20, menggunakan seterika wap panas pada jam 11.45 malam di ALK UPNM di Kem Sungai Besi.