Dr Ahmad Fauzi (dua kanan) meninjau persiapan Majlis Konvokesyen UTM Ke-68 di Dewan Sultan Iskandar, UTM, Skudai, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofia berkenan menyempurnakan perisytiharan Tan Sri Profesor Emeritus Ir Dr Mohd Zulkifli Mohd Ghazali sebagai Pro-Canselor baharu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada Sabtu ini.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, perisytiharan itu akan diadakan dengan penuh adat istiadat pada Sesi 1 Majlis Konvokesyen UTM Ke-68 di Dewan Sultan Iskandar, UTM, di sini.

“Dr Mohd Zulkifli pernah menjawat jawatan sebagai Naib Canselor UTM selama tujuh tahun bermula 2001 hingga 2008.

“Dalam tempoh ini, beliau telah berusaha menggembleng pasukan di bawah terajunya dalam menjadikan UTM sebagai sebuah universiti berjenama global dengan merintis pelbagai ruang kerjasama dengan universiti luar negara.

“Kepakaran dalam bidang kejuruteraan dan ketokohan dari sudut kepemimpinan, di peringkat negara dan antarabangsa melayakkan Tan Sri Datuk Ir Dr Zulkifli diangkat sebagai Pro-Canselor UTM,” katanya pada sidang media Majlis Konvokesyen UTM ke-68, di sini, hari ini.

Sesi pengijazahan pertama pada Sabtu ini juga menyaksikan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada dua tokoh akademik UTM iaitu Datuk Ir Dr Wahid Omar dan Ir Mohamad Afifi Abdul Mukti.

Menurut Ahmad Fauzi, Wahid merupakan bekas Naib Canselor UTM ke-6 yang pernah menerajui UTM selama tujuh tahun bermula 2013 sehingga 2020.

Katanya, meskipun telah bersara, beliau kini meneruskan perkhidmatan di UTM menerusi amal bakti dengan memberi sumbangan dalam pembangunan bakat kepimpinan di universiti itu.

“Ir Mohamad Afifi Abdul Mukti yang bakal menerima anugerah sama ialah bekas Profesor dan juga Dekan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal UTM. Beliau antara figura signifikan dalam penggubalan dan pembangunan kurikulum kejuruteraan di UTM dan juga negara.

“Semenjak memulakan perkhidmatan di UTM bermula 1973, Ir Mohamad Afifi membawa pelbagai pembaharuan antaranya memperkenalkan latihan industri sebagai kriteria bagi kurikulum kejuruteraan yang akhirnya diguna pakai semua universiti di negara ini sehingga sekarang,”katanya.

Sabtu ini, UTM bakal meraikan 7,499 orang graduan termasuk penerima Hadiah Akademik sempena istiadat Perisytiharan Pro-Canselor & MK68 di Dewan Sultan Iskandar, UTM.

Istiadat majlis konvokesyen kali ini akan berlangsung selama enam hari bermula dari Sabtu hingga 21 November 2024.

Istiadat Majlis Konvokesyen kali ini menerima keberangkatan Raja Zarith Sofiah selaku Canselor UTM bersama-sama Pro- Canselor UTM, Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Penganugerahan Ijazah edisi kali ini diberikan kepada 584 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 1,352 graduan Ijazah Sarjana, 4,581 graduan Ijazah Sarjana Muda, 899 graduan Diploma, dan 83 graduan Diploma Eksekutif.

Daripada jumlah tersebut, seramai 1,149 orang graduan antarabangsa dari 56 buah negara turut dianugerahkan ijazah yang mana Indonesia, China dan Bangladesh merupakan tiga negara dengan bilangan graduan tertinggi.

Setakat ini, UTM telah melahirkan seramai 232,222 graduan dengan 12,450 ialah graduan antarabangsa dari 107 buah negara sejak 1972.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast