Seorang daripada dua ahli sindiket borong dadah didakwa di Mahkamah Majistret Kluang hari ini atas pertuduhan memiliki dadah

KLUANG – Dua ahli sindiket borong dan edar dadah bernilai RM28.31 juta yang diberkas 3 November lalu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA), bulan lalu.

Tertuduh, Lee Chia Ceh, 32, yang merupakan warga tempatan menjawab faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Sementara Nguyen Thi Kim Van, 28, yang merupakan wanita warga Vietnam tidak direkodkan sebarang pengakuan kerana tidak memahami pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh kerana kes di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, kedua-duanya mengedar dadah disyaki jenis MDMA dengan anggaran berat 1473.8 gram di sebuah rumah di Taman Tasik Indah pukul 6.45 petang pada 3 November lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan hendaklah, jika tidak dihukum mati, disebat tidak kurang 12 sebatan, jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwaraya Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes dihadapi tertuduh adalah tidak boleh dijamin.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 26 November ini sebagai tarikh sebutan semula kepada wanita warganegara Vietnam bagi mendapatkan perterjemah dalam bahasa Vietnam.

Sebutan semula kes kepada kedua-dua tertuduh ditetapkan pada 9 Januari tahun depan untuk serahan dokumen serta laporan kimia.

Kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Selasa lalu, Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dalam satu sidang akhbar berkata, polis Johor berjaya menumpaskan sindiket pemborong dadah yang dipercayai terbesar di negeri ini hasil rampasan dan sitaan berjumlah RM28.31 juta.

Katanya siasatan mendapati modus operandi sindiket berkenaan adalah membeli dadah, membungkus dan menjualnya semula ke pasaran.

Menurutnya, melalui tiga serbuan di Johor Bahru, Kluang dan Iskandar Puteri, tujuh suspek ditahan melibatkan tiga lelaki dan dua wanita warga tempatan selain dua warga asing yang berusia diantara 27 hingga 62 tahun.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here