MUAR – Empat lelaki warga Myanmar direman seminggu sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan kes seorang lelaki negara itu yang mati dalam pergaduhan di sebuah kilang di Bakri di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu pada pukul 10.30 malam kelmarin.
“Pihak polis menerima maklumat awal mengenai pergaduhan melibatkan sekumpulan warga asing berlaku di bilik asrama sebuah kilang di Bakri.
“Pergaduhan warga asing itu menyebabkan seorang lelaki Myanmar cedera parah dan kemudian meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, identiti mangsa termasuk mangsa tidak dapat dikenal pasti kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau passport ditemui.
Pihaknya kemudian membuat tangkapan empat lelaki Myanmar berusia 24 sehingga 35 tahun.
Tambah Raiz Mukhliz, tindakan mengesan suspek yang masih bebas sedang giat dijalankan.
Beliau berkata, punca pergaduhan masih dalam siasatan dan kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati dan
Tambah beliau, kes juga disiasat bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya yang boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi mana mana balai polis terdekat atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan Asisten Superitendan Siti Zuhaida Yusof menerusi talian 0126554530 untuk membantu siasatan,” katanya.- MalaysiaGazette