Mohideen menggesa kerajaan ambil tindakan drastik kawal peningkatan kadar diabetes dalam negara.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk mengambil langkah drastik dalam menangani peningkatan kadar diabetes yang semakin membimbangkan dalam negara.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, peningkatan kadar diabetes hampir dua kali ganda dalam tempoh sedekad lalu telah menyebabkan risiko kesihatan serius selain kos rawatan semakin tinggi.

Jelas beliau, bagi mengawal penularan penyakit ini kerajaan perlu mengharamkan penggunaan Sirap Jagung Fruktosa Tinggi (HFCS) dalam produk makanan.

“HFCS merupakan pemanis murah yang tidak sihat serta menyumbang kepada peningkatan gula dalam diet harian rakyat.

“Kerajaan juga perlu memperketat undang-undang pelabelan produk dengan mewajibkan pengilang menunjukkan jumlah gula dalam makanan dalam bentuk sudu teh bagi memudahkan pengguna membuat pilihan lebih bijak.

“Selain itu, iklan makanan dan minuman tinggi gula perlu dihentikan di televisyen sekali gus membuatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan makanan yang tidak sihat,” katanya sempena Hari Diabetes Sedunia, hari ini.

Tambah Mohideen, penjualan makanan ringan di kantin sekolah dan sekitar kawasan sekolah perlu dihentikan agar kanak-kanak tidak terdorong untuk membeli makanan tidak berkhasiat.

“Diabetes, yang semakin berleluasa di Malaysia, bukan sahaja menjejaskan kualiti hidup tetapi juga menyumbang kepada pelbagai komplikasi kesihatan serius seperti kegagalan jantung dan kerosakan saraf.

“CAP berharap langkah-langkah ini akan membantu mengurangkan kadar diabetes dalam negara dan memastikan kesejahteraan kesihatan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here