PUTRAJAYA – Sindiket penyelewengan minyak masak paket menggunakan taktik terbaharu dengan membeli secara pukal barang subsidi itu sebelum menjualnya sebagai minyak masak terpakai pada harga RM3.80.
Kegiatan itu terbongkar selepas 15 ahli sindiket terdiri daripada 11 warga asing dan empat tempatan ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam beberapa dua serbuan berasingan di Kajang, Selangor, 12 November lalu.
Kesemua suspek berumur lingkungan 25 hingga 45 tahun direman selama empat hari bermula 13 hingga 16 November ini untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali berkata, serbuan itu adalah hasil aduan awam dan risikan KPDN selama sebulan.
“Kami percaya sindiket ini mengaut keuntungan sehingga RM20,000 sehari,” katanya menerusi sidang akhbar khas Ops Tiris 3.0 di sini, hari ini.
Menurut beliau, serbuan pertama di sebuah rumah mendapati ia dijadikan stor haram bagi mengumpulkan minyak masak subsidi yang telah dikeluarkan daripada paketnya sebelum dihantar ke premis yang membeli dan menjual minyak masak terpakai di Semenyih.
Berdasarkan penemuan pelbagai jenama minyak masak subsidi itu, beliau percaya anggota sindiket mendapat bekalan daripada beberapa syarikat pembungkusan minyak masak sekitar Lembah Klang.
Menurut Armizan, premis berkenaan berselindung di sebalik perniagaan membeli, menjual minyak masak terpakai.
Premis tersebut juga dijadikan tempat pengumpulan dan pengedaran minyak masak tanpa lesen.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua premis berkenaan berjaya membawa kepada penemuan 14,340 kilogram minyak paket bersubsidi pelbagai jenama yang telah dibuang bungkusan dan dikumpulkan dalam tangki air IBC manakala sebahagian lagi minyak masak masih dalam kotak yang belum dibuka.
“Kita juga menemui beberapa peralatan yang digunakan sindiket untuk melakukan kegiatan haram itu antaranya hos penyambung, pam bermotor, telefon bimbit dan beberapa tangki IBC untuk pegumpulan minyak masak,” katanya.
Menurut beliau, pasukannya menyita kesemua minyak masak terbabit bersama tiga buah lori, sebuah kereta mewah dan beberapa dokumen perniagaan yang bernilai keseluruhan berjumlah hampir mencecah setengah juta ringgit (RM429,850).
Tegas Armizan, pihaknya akan melakukan siasatan teliti di semua peringkat termasuk melibatkan syarikat pembungkusan, rantaian pengedaran, rekod penjualan pemborong dan peruncit bagi mendapatkan dalang sebenar yang memainkan peranan di sebalik kegiatan itu. -MalaysiaGazette