Tertuduh berusia 46 tahun berdepan hukuman penjara sehingga 40 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya berusia sembilan tahun bulan lalu.

MELAKA – Seorang lelaki berdepan hukuman penjara sehingga 40 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudaranya bulan lalu.

Tertuduh berusia 46 tahun membuat kedua-dua pengakuan itu sebaik semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 18 November ini untuk fakta kes dan jatuh hukum.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan dalam sebuah bilik rumah beralamat di Simpang Bekoh, Asahan dalam daerah Jasin antara pukul 6.30 petang hingga 7 malam 19 Oktober lalu.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan juga boleh disebat bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta yang sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Ali Hussain tidak menawarkan sebarang jaminan namun mencadangkan RM20,000 dengan dua penjamin jika mahkamah mahu menggunakan budi bicara selain dikenakan syarat tambahan.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan jaminan dan menetapkan tarikh 18 November ini untuk fakta kes dan jatuh hukuman. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast