KUALA LUMPUR – Malaysia dan Singapura hari ini memetarai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menjalin kerjasama dalam mencerah dan menangani jenayah rentas sempadan.
Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negeri (KDN), pemeteraian MoU itu merupakan komitmen kedua-dua negara untuk memperhebat usaha dalam membanteras jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, dan jenayah siber.
Pada majlis pemeteraian MoU itu, Malaysia diwakili Menteri Dalam Negeri, Datuk SeriSaifuddin Nasution Ismail manakala Singapura diwakili Menteri Dalam Negeri dan Undang-Undang, K. Shanmugam.
Menurut kenyataan itu, Saifuddin dan Shanmugam turut mengadakan pertemuan untuk berbincang mengenai kepentingan kerjasama keselamatan dua hala yang menyeluruh antara Malaysia dan Singapura, khususnya dalam aspek pengurusan jenayah rentas sempadan serta bidang keimigresenan dan kepolisan.
Tambahnya, Saifuddin dan delegasi Malaysia turut menerima taklimat daripada Immigration and Checkpoints Agency (ICA) Singapura dan mengadakan lawatan ke Pusat Pemeriksaan Woodlands.
“Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan berkenaan sistem kawalan sempadan Singapura, khususnya melalui penggunaan teknologi terkini bagi menguruskan aliran lalu lintas rentas sempadan dengan lebih cekap dan teratur.
“Selain itu, Delegasi Malaysia bersama Saifuddin turut membuat lawatan ke Anti-Scam Centre (ASC) Singapura dan INTERPOL Cybercrime Directorate untuk memahami pendekatan serta teknologi yang dimanfaatkan dalam usaha membanteras aktiviti penipuan dalam talian,” katanya. – MalaysiaGazette