KULAI – Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) menggempur 11 premis Taman Bintang Utama, Senai di sini semalam dalam usaha membanteras perniagaan dikendalikan warga asing.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, MPKu mengarahkan semua premis perniagaan terbabit ditutup serta merta.
“Sebanyak 11 notis tutup premis telah dikeluarkan dan perniagaan diarah tutup kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen yang sebahagiannya dikendalikan oleh warga asing.
“Selain itu, 14 notis arahan hadir ke MPKu telah dikeluarkan kepada pemilik premis untuk memberikan keterangan lanjut dan mengisi borang Aku Janji Menjalankan Perniagaan,” katanya dalam Facebook miliknya hari ini.
Katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Batu, MPKu turut mengeluarkan sembilan notis kerana kerana tidak mematuhi peraturan ruang siar kaki.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 16 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini sudah diarahkan turun padang membuat pemeriksaan terhadap lesen perniagaan.
Jelasnya, ini termasuk mengambi tindakan kepada pemilik yang menyewa perniagaan kepada warga asing.
Tegasnya, operasi akan diteruskan dari masa ke semasa, pemilik perniagaan diingatkan tidak menjalankan perniagaan tanpa lesen dan tidak menggajikan pekerja warga asing tanpa permit sah.
“Selain itu juga pemilik lesen dilarang menyalahgunakan lesen bagi tujuan menyerah pemilikan lesen kepada orang lain terutamanya warga asing kerana tindakan tegas akan diambil,” ujarnya.- MalaysiaGazette